PAU labuh tirai: Zahid, Mat Hasan perkukuh kedudukan dalam Umno
PAU 2022 | Perhimpunan Agung Umno 2022 menutup tirainya petang tadi dengan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan muncul sebagai pemenang yang jelas.
Perwakilan di Dewan Merdeka telah memperkukuhkan kedudukan dua pemimpin tertinggi Umno itu dengan mengundi resolusi usul tiada pertandingan jawatan presiden dan timbalannya pada pemilihan parti akan datang.
Ini meskipun sebelum PAU 2021, Zahid dan Mohamad dikatakan bakal dinilai perwakilan susulan kekalahan teruk parti itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Dengan membuat resolusi untuk menghalang dua jawatan itu daripada dipertandingkan, perwakilan Umno secara tidak langsung menyekat sebarang langkah pemimpin yang sehaluan dengan Muhyiddin Yassin daripada cubaan mengambil alih kepimpinan parti, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat.
Terdapat beberapa bahagian Umno dari Johor dan Kuala Lumpur, yang menggesa pertandingan itu dibuka, tetapi perwakilan lain tidak begitu tertarik.
Difahamkan, hanya segelintir pemimpin kanan Umno yang tidak bangkit apabila perhimpunan menggesa usul supaya Zahid dan Mohamad terus menerajui jawatan tertinggi parti dan mereka dikatakan mendapat cemuhan daripada perwakilan.
Antara mereka yang dikatakan mengundi menentang usul itu ialah bekas perdana menteri dan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, antara pemimpin kanan parti yang diketahui cenderung kepada Muhyiddin dan bukannya Zahid.
Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang dipercayai berniat mencabar semula Zahid turut melakukan percubaan saat akhir untuk menghentikan resolusi tersebut.
Dalam video yang disiarkan di akaun media sosialnya, Khairy menyeru perwakilan supaya tidak mengundinya, dan mendakwa terdapat percubaan untuk membawa masuk pengundi hantu untuk menyokong usul itu. Tetapi ikhtiar Khairy ini juga terbukti sia-sia.
Mesej paling jelas daripada perhimpunan Umno selama empat hari itu ialah - barisan Umno tidak lagi mengalu-alukan pengaruh pro-Perikatan Nasional dalam parti.
Perbahasan ucapan dasar presiden parti menyaksikan perwakilan meletakkan kesalahan prestasi buruk pilihan raya Umno dan BN kepada kumpulan dalam parti yang memihak kepada PN pimpinan Muhyiddin Yassin.
Veteran parti juga menyeru agar perwakilan tidak membenarkan diri mereka dipergunakan oleh "orang luar" untuk menjatuhkan Zahid dengan membiarkan jawatan presidennya dicabar.
"Berterus terang saya katakan, presiden tak disukai bukan saja orang luar, bukan saja CIA, bukan KGB, tapi orang luar daripada Umno yang berusaha nak menghancurkan Umno.
"Orang-orang luar ini mengunakan orang dalaman Umno untuk mengalahkan Zahid, ini yang kita tak mahu," kata Mustapha Yaakub, yang mewakili Kelab Veteran Umno, dalam perbahasan ucapan dasar presiden.
Terdapat juga gesaan untuk membersihkan barisan parti daripada kononnya "pembelot", yang mereka katakan telah mengkhianati Umno.
Perwakilan Umno Kedah Nor Saidi Nanyan dalam ucapannya mencadangkan sudah tiba masanya untuk kepimpinan Umno membersihkan parti itu.
"Oleh itu Umno Kedah mengusulkan tindakan pemutihan dilakukan segera.
"Apa guna jumlah (ahli) ramai tapi tak setia? Lebih baik sedikit (tetapi) tetap setia tidak berpaling tadah," katanya.
Perwakilan Kelantan, Zawawi Othman, berkata Umno menerima nasib malang pada tahun lalu kerana pilihan raya umum (PRU) diadakan lewat iaitu ketika negara berdepan dengan masalah "telur".
Katanya, sepatutnya PRU15 diadakan lebih awal atau bersekali dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika kedudukan PN dan PH sedang lemah.
"Kita silap kerana sepatutnya kita adakan PRU awal lagi, (sebaliknya) kita adakan pilihan raya ketika harga ayam dah naik... harga barang dah naik.
"Kita buat PRU semasa 'tidak ada telur' sebab itu kita tewas. Telur naik orang tak suka, yang orang suka 'barang naik'," katanya secara berseloroh.
Bergerak ke depan
Dalam menetapkan hala tuju Umno ke arah enam pilihan raya negeri yang akan datang dan meningkatkan sokongan terhadap parti itu, Zahid dalam ucapan penggulungannya mengumumkan senarai inisiatif.
Ini termasuk membentuk Majlis Ulama Umno dan Zahid melantik Dusuki Ahmad sebagai pengerusi pertamanya.
Dia turut mengumumkan penyelaras pilihan raya bagi enam negeri yang digelar "bapa angkat" daripada kalangan pemimpin kanan Umno iaitu Mohamad Hasan (Negeri Sembilan), Naib Presiden Mahdzir Khalid (Kedah), Naib Presiden Khaled Nordin (Terengganu), Setiausaha Agung BN Zambry Kadir (Kelantan), Azalina Othman Said (Pulau Pinang), dan Tengku Zafrul Aziz (Selangor).
Senarai itu telah mengetepikan Ismail Sabri, yang merupakan salah seorang daripada tiga naib presiden parti itu.
Mohamad dalam pada itu meminta ahli Umno memberi peluang kepada parti itu untuk meneroka dinamik politik baru yang menyaksikan ia terpaksa bekerjasama dengan PH, musuh ketatnya sehinggalah selepas parlimen tergantung pasca PRU15.
Dalam ucapan penggulungannya, dia mengingatkan ahli Umno bahawa parti itu telah kalah dalam pilihan raya umum baru-baru ini dan kepimpinannya sedang melakukan segala yang mereka mampu untuk memastikan kelangsungan parti.
"Apa dilakukan pucuk pimpinan parti semata-mata memastikan kita memula langkah hadapi PRU ke-16.
“Itu penting. Jadi bagi peluang kita mengurus parti, orak langkah perlahan-lahan," katanya.
Laporan oleh Haspaizi Zain, Hariz Mohd, Shakira Buang, Ng Xiang Yi dan Low Choon Chyuan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai