Skip to main
Logo Malaysiakini

Dipecat PKR, Razak berhasrat tanding PRN S'gor di bawah Parti Hijau

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Walau dipecat PKR, bekas setiausaha Otai Reformis 1998 Abdul Razak Ismail tetap bersemangat dan mendedahkan perancangannya besarnya untuk tahun ini.

Bercakap dengan Malaysiakini, Razak yang juga setiausaha agung protem Parti Hijau Malaysia berkata dia telah mendaftarkan parti baru itu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan sedang menanti ia diluluskan.

Jika kelulusan diberikan sebelum PRN Selangor dilaksanakan, dia berharap untuk bertanding di salah satu kerusi DUN di negeri itu.

"Kami (Parti Hijau Malaysia) akan bertanding di kawasan terletaknya hutan simpan Bukit Lagong dan Bukit Cherakah.

"Pada masa ini, kami beri tumpuan kepada isu alam sekitar, mempertahankan hutan simpan, terutama di Selangor kerana saya lihat kerajaan negeri 'begit berminat' untuk 'sentuh' hutan simpan.

"Rekod dari Jabatan Perhutanan Negeri Selangor menunjukkan ada 76 kawasan hutan simpan di seluruh negeri, dengan luas keseluruhan 250,000 hektar," katanya.

Razak dipecat dari PKR pada 7 Januari lalu.

Dia berkata, parti memaklumkan keputusan itu menerusi emel oleh setiausaha agung Saifuddin Nasution Ismail pada Jumaat lalu.

Menurut Saifuddin, Razak dipecat kerana dia turut memegang jawatan dalam Parti Hijau Malaysia, selain melanggar kod etika dengan "melakukan kegiatan sabotaj terhadap keputusan parti dan kepimpinan".

Razak berkata dia menubuhkan Parti Hijau Malaysia dengan agenda yang jelas, iaitu mempertahankan alam sekitar dan hutan simpan.

Dia mendakwa hutan simpan menjadi "tumpuan" kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu bagi kegiatan pembangunan, pembalakan, dan dibuka bagi tujuan "ladang hutan".

Sementara itu, dia juga berpandangan PKR bertindak terlalu tegas dengan memecat veteran parti seperti bekas naib presiden Tian Chua dan dirinya sendiri.

"Ini hanya selepas mereka menang Putrajaya. Kebanyakannya dianggap masih baru ketika kami berjuang semasa era Reformasi pada 1998.

"Sekarang saya hanya ahli biasa Otai Reformasi. Saya beritahu mereka, oleh kerana Anwar (Ibrahim) sudah jadi perdana menteri, perjuangan Otai Reformis untuk Anwar sudah tamat.

"Saya tidak fikir PH atau PKR dapat melindungi hutan sebagai kerajaan pemerintah untuk penggal ini kerana saya tidak lihat ada di kalangan mereka yang merupakan pejuang alam sekitar," katanya lagi.