Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Biduk tak lepas berlalu di Dewan Merdeka

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PULASAN | Dewan Merdeka mungkin kembali sunyi hari ini. Jika ada pun yang masih sibuk, mungkin pihak urus setia atau pekerja kontrak yang memunggah segala wayar yang digunakan selama hampir seminggu lamanya.

Semalam perhimpunan tahunan terbesar Umno berakhir. Tirai dilabuhkan dengan pelbagai cerita, dengan sesetengahnya terkepung di sebalik dinding dan pintu yang mengepung dewan tersebut.

Ketika Ahmad Zahid Hamidi membacakan satu demi satu pemimpin tertinggi Umno di akhir sidang petang semalam, entah apa yang dirasakan oleh Ismail Sabri apabila namanya tidak disertakan.

Dia - seorang bekas perdana menteri - sekadar tersenyum lebar sambil bertepuk tangan apabila nama-nama orang lain diumumkan presiden Umno untuk diberi tanggungjawab menguruskan parti di enam negeri berbeza.

Negeri itu - Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan - sebelum 19 Nov 2022 ialah kawasan yang ditadbir oleh lawan Umno, iaitu PH.

Kali ini kerajaan negeri tersebut sudah menjadi rakan Umno. Melantik seseorang untuk menguruskan Umno di negeri tersebut bermakna Ahmad Zahid meyakini mereka - Mohamad Hasan, Mahdzir Khalid, Mohamed Khaled Nordin, Zambry Abdul Kadir dan Azalina Othman.

Pada masa sama, mesej tersirat yang disampaikan kepada umum ialah, Umno tidak meyakini orang seperti Ismail Sabri untuk diberikan tanggungjawab menguruskan hal ehwal parti. Padahal dia itu naib presiden.

Mujur jugalah - buat Umno - perhimpinan agung kali ini diadakan secara lebih sederhana, terkawal, dan kian malap gahnya. Umno lebih banyak mengepung cerita dalam rumah tangga mereka berbanding bercerita seantero dunia.

Stesen TV milik kerajaan juga semakin malu-malu memberikan liputan langsung besar-besaran. Berita baiknya ialah, secara tidak langsung berkurangan juga tekanan jiwa rakyat Malaysia yang berasa ada hal yang lebih penting daripada disumbat mata dan telinga masing-masing dengan kesombongan Umno.

Kerajaan juga semakin faham akan fungsi jentera mereka untuk rakyat. Ia bukan disiapkan untuk sesebuah parti tetapi rakyat secara keseluruhan. Parti adalah parti, dan kerajaan adalah kerajaan.

Bukan tugas yang mudah untuk memahamkan rakyat tentang hakikat yang mudah itu. Hanya apabila difahamkan - selepas puluhan tahun - barulah berjaya. Natijahnya mereka mula mendesak kerajaan BN agar lebih cermat menggunakan jentera yang dibiayai oleh semua rakyat yang membayar cukai.

Barangkali tidak ramai yang menyangka kemudiannya - pada 2023 - Umno yang gah itu akhirnya terpaksa menjadi amat 'pemalu' semasa bersidang.

Kelmarin Ketua Penerangan Umno Isham Jalil secara terbuka mengakui mereka perlu berbahas secara bebas dan dari hati ke hati tanpa disaksikan babak-babaknya oleh orang lain.

Bukan saja parti lain terhalang, maklumat kepada ahli Umno yang bukan jadi perwakilan pun ditapis mereka. Yang terkongsi kemudian hanyalah cebisan-cebisan perbahasan yang sudah dikategorikan 'selamat'. Selebihnya tentulah kisah yang dikongsikan oleh perwakilan secara lisan saja.

Sementara itu di celah-celah proses muhasabah itu, ada juga beberapa pihak yang mahu ahli Umno terus mengenang-ngenang akan bekas presiden mereka, Najib Razak.

Ia tidaklah gagal, tetapi rasanya tidak juga berjaya sepenuhnya. Skrip yang diulang-ulang mereka hanyalah mahukan keadilan buat pemimpin yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga orang politik yang akhirnya menjadi perdana menteri kedua negara.

Desakan mereka itu - sesekali nampak dipaksa-paksakan - mengundang tanda tanya kepada orang ramai terhadap maksud keadilan yang diinginkan oleh ahli Umno terbabit. Adakah keadilan itu hanya akan dianggap tercapai apabila ia menepati kehendak mereka saja?

Tetapi yang paling menonjol tentulah kedudukan Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden Umno dan Mohamad Hasan sebagai timbalannya. Dalam kepungan dinding dan daun pintu Dewan Merdeka, kira-kira 2,600 perwakilan diminta untuk memilih sama ada mahu melihat Ahmad Zahid dan Mohamad dicabar atau tidak.

Undian dijalankan secara terbuka. Perwakilan diminta mengangkat tangan atau berdiri. Maknanya Umno membuka gelanggang untuk sesiapa saja yang mahu melawan atau menongkah arus agar menunjukkan kejantanan masing-masing.

Memang adalah perwakilan yang menjadi 'jantan' apabila enggan mengangkat tangan atau berdiri untuk menyokong usul agar Ahmad Zahid dan Mohamad diizinkan terus menjadi ketua tanpa perlu dicabar.

Kepada 'anak jantan' yang melawan itu, khabarnya mereka disorak dan diejek. Biasalah, kalau beramai-ramai, memang berani menyorak orang yang kita tidak suka secara terbuka begitu. Kalau dalam kelompok yang kecil, belum tentu.

Kemudian Ahmad Zahid dan Mohamad pun bakal diumum menang tanpa bertandinglah tidak lama lagi.

Tetapi adakah itu suatu kelegaan sebenar buat Umno? Jika mengenangkan sifat Umno sejak berpuluh-puluh tahun silam, memang kumpulan yang mahu mengelak pertandingan akan berasa lega.

Hal itu kerana rasanya setakat ini belum ada lagi dalam sejarah Umno kumpulan yang melawan ketua mampu mencipta kemenangan. Hanyut dan terbuang, adalah.

Sesiapa saja yang menjadi ketua dalam Umno biasanya akan selamat, sama ada oleh langkah sendiri atau kerana sistem parti yang mencipta pendukung, pengepung dan perisai dari pelbagai lapisan.

Dan jangan dilupa juga akan sokongan para pengipas.

Umno juga selalu diingat orang akan pelbagai cerita pembelotan serta wayang dalam kalangan pemimpinnya.

Sudah tentu Umno akan berasa marah apabila parti itu dituduh gemar bermain bersandiwara dan diwarnai dengan pembelotan. Umno berhak untuk berasa hati, tetapi pada masa sama sandiwara dan pembelotan itu bukanlah mainan kata-kata orang luar saja, sebaliknya diakui sendiri oleh ahli parti.

Ia juga menjadi sebut-sebutan penyedap syarahan semasa PAU berlangsung. Bukan setakat perwakilan negeri, bahkan diakui oleh presidennya sendiri.

Kerana itu Ahmad Zahid dan Mohamad - bahkan sesiapa juga - tidaklah boleh berlama-lama berasa selesa dengan ketetapan dibuat PAU semalam.

Umno semasa berkuasa akan selalu menggoda. Kerana itu kadang-kadang kemesraan yang terpapar dalam kalangan pemimpin parti itu akan selalu dicurigai. Tidak lama kemudian akan bertiup desas-desus mengenai hal-hal yang tidak tuntas.

Kelaziman dalam politik di negara ini pula ialah, hal-hal yang dinafikan itulah yang selalu menjadi benar.

Biduk di Dewan Merdeka kelihatannya sudah berlalu, tetapi sama ada kiambang akan bertaut atau tidak, adalah hal yang berbeza. Bayang-bayang yang muncul dari menara kebanggaan Umno itu ialah: masih ada yang belum tuntas di situ.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang selalu asyik menikmati lelucon orang politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.