Skip to main
Logo Malaysiakini

Nasrudin ketuai MN di Pahang, Zuraida di Selangor

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nasruddin Hassan dan bekas ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin masing-masing diumum sebagai pengerusi perhubungan Muafakat Nasional (MN) Pahang dan Selangor.

Perkara itu diumumkan Pengerusi MN Annuar Musa menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Annuar berkata, sudah tiba masanya NGO yang dikemudinya itu memulakan penubuhan di peringkat negeri dan kawasan selepas menurutnya ia sudah memiliki 30,000 anggota.

"Penubuhan perhubungan negeri bermula di Sabah pada 5 Feb ini disusuli Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan lain-lain," katanya.

Sementara itu Annuar turut mengumumkan pelantikan pengerusi MN bagi negeri Sabah dan Sarawak iaitu Jismit Japong dan Justine Jinggot.

Minggu lalu, Zuraida yang juga bekas naib presiden PKR dilantik sebagai timbalan presiden MN. Turut dilantik bagi jawatan tersebut adalah seorang lagi bekas ahli parlimen PKR, Edmund Santhara Kumar Ramanaidu.

Bagaimanapun, Nasrudin tidak pernah dikaitkan dengan NGO tersebut sebelum ini.

Annuar mengaktifkan MN selepas tidak dipilih sebagai calon BN dalam PRU15 lalu sebelum dipecat daripada Umno pada 8 Dis lalu.