Skip to main
Logo Malaysiakini

Abang Johari: Status Sabah, S'wak sebagai wilayah belum diwarta

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Status Sarawak dan Sabah sebagai wilayah dalam Malaysia masih belum diwartakan dan isu berkenaan hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara kerajaan Persekutuan serta Sarawak yang dijadualkan pada 19 Jan ini.

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata perubahan status kedua-dua negeri itu sebagai wilayah itu buat masa ini adalah pada peringkat cadangan sahaja.

“(Status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah) belum lagi diwartakan. Pewartaan sebagai wilayah itu hanya cadangan sahaja, dan dari mula lagi memang kita (Sabah dan Sarawak) sepatutnya (berstatus) wilayah tapi keadaannya berubah dalam 60 tahun, jadi sebab itu kita meminda Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Program Hari Bebas Kereta Kuching di Kuching hari ini, beliau berkata kerajaan persekutuan akan diminta untuk memuktamadkan sama ada kedua-dua negeri Borneo itu akan diwartakan sebagai wilayah dalam mesyuarat itu yang turut melibatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar dijangka mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Sarawak pada 18 dan 19 Jan ini, lawatan pertama beliau ke negeri itu sejak dilantik sebagai perdana menteri pada 24 Nov tahun lepas.

Jumaat lepas Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan agung parti itu berkata kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri sebaliknya wilayah, bagaimanapun beliau tidak menyatakan sejak bila status berkenaan berkuat kuasa,

-Bernama