Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengeluaran khas KWSP: Salahuddin saran kabinet bincang

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub memberi jaminan akan meneliti tuntutan untuk membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran awal daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ini selepas sekumpulan pencarum menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk meluluskan pengeluaran awal akibat terjejas teruk oleh pandemik Covid-19.

Satu memorandum mengenai gesaan ini telah diserahkan kepada setiausaha politik Anwar, Azman Abidin.

“Saya rasa latar belakang isu ini adalah kos sara hidup... jadi saya fikir ia memerlukan perbincangan (untuk membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran awal).

“Sama ada ia boleh dipersetujui atau tidak, kabinet perlu berbincang mengenainya. (Kami) akan menelitinya,” kata Salahuddin kepada Malaysiakini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu mempertimbangkan nasib dan masa depan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum membenarkan sekali lagi pengeluaran khas.

Anwar berkata adalah lebih baik kerajaan mencari kaedah dan jalan lain yang lebih berkesan bagi membantu rakyat yang terkesan serta kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Dia berkata ini kerana kebanyakan pencarum memiliki jumlah simpanan yang sangat kecil dan jika kerajaan membenarkan pengeluaran sekali lagi, ia akan memberikan kesan kepada masa depan pencarum itu sendiri.

"Terlalu kecil... saya periksa jumlah simpanan kebanyakan pencarum jumlahnya sangat rendah, jadi saya bimbang tentang masa depan mereka, jadi lebih baik kerajaan cari jalan untuk bantu mereka," kata Anwar.

Terdahulu, Salahuddin melawat Aeon, Mid Valley Megamall di Kuala Lumpur untuk meninjau pelaksanaan harga barangan terkawal di pasar raya berkenaan menjelang musim Tahun Baru Cina.

Bermula 15 Jan hingga 29 Jan, kata Salhuddin kerajaan akan melaksanakan harga siling bagi beberapa barangan seperti kobis, kentang, bawang putih, ikan dan daging babi, sejajar dengan musim perayaan.

Salahuddin berkata pasar raya besar harus menunjukkan contoh yang baik kepada pemain industri lain, dengan mematuhi harga siling yang ditetapkan kementerian.

Denda akan dikenakan kepada pemain industri yang tidak mematuhi harga yang ditetapkan walaupun ini bukan perkara yang diinginkan, katanya.

Sementara itu, Salahuddin berkata penting untuk mendidik orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli barangan bagi mengelakkan pembaziran.

Dia berharap harga siling juga dapat menangani isu bekalan barangan, yang seterusnya dapat mengelakkan pembaziran makanan.

Dengan ini tidak ada lagi pembelian panik, kata Salahuddin.

Katanya, semua kaum boleh mendapat manfaat daripada harga siling walaupun ia hanya berlaku pada musim perayaan, sambil menambah rancangan sedang dijalankan untuk terus melaksanakan harga siling bagi barangan tertentu pada bulan Ramadan Mac depan.

[Baca berita asal]