Skip to main
Logo Malaysiakini

'Manifesto kerajaan perpaduan' antara hal dibincang permukiman menteri

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Permukiman jemaah menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam antara lain membincangkan berkenaan kemungkinan merangka "manifesto kerajaan perpaduan".

Namun, menurut sumber yang tahu berkenaan permukiman itu, tiada keputusan muktamad dibuat berhubung perkara itu.

"Kami cuba gabungkan manifesto keempat-empat gabungan...

"Kami cuma bercakap tentangnya dan tunjukkan beberapa perbezaan dan persamaan dalam semua manifesto, namun kami tidak sentuh berkenaan bagaimana nak gabungkannya kerana tiada masa.

"(Permukiman) bukan untuk buat apa-apa keputusan," kata sumber itu kepada Malaysiakini hari ini.

Dia sebaliknya berkata permukiman tersebut lebih kepada memberi taklimat kepada menteri, terutama bagi mereka yang pertama kali memegang jawatan itu, antaranya berkenaan soal seperti protokol kerajaan dan fungsi perkhidmatan awam.

"Ia lebih kepada sesi orientasi," katanya lagi.

Selain itu, menteri turut diberi taklimat berkenaan kedudukan ekonomi dan politik negara.

Berhubung perbincangan tentang petunjuk prestasi utama (KPI) menteri, dia berkata apa yang dibincangkan adalah bagaimana untuk menambah baik sistem KPI.

"Apa yang penting ialah (KPI) perlu ada hubung kait dengan rakyat kerana jika tidak, walau anda dapat 100 atau 98 peratus tetapi persepsi di lapangan masih teruk, ia tidak berguna," katanya.

Akrabkan hubungan

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil enggan mengesahkan manifesto kerajaan perpaduan ada dibincangkan dalam permukiman itu.

Dia berkata, permukiman adalah "peluang baik untuk semua anggota kabinet meluangkan masa bersama" dan mengakrabkan hubungan serta memastikan semua memahami falsafah pentadbiran baru.

"Mesejnya ialah kita perlu bekerja dengan pantas. Apa yang perdana menteri benar-benar mahukan adalah agar kami menyelesaikan masalah rakyat sekarang," katanya.

Fahmi Fadzil

Berhubung perbincangan KPI, Fahmi berkata matlamatnya bukanlah untuk mendapat "apa yang dikatakan sebagai markah yang bagus" kerana ia hanyalah kiraan peringkat dalaman.

Mesej utama, katanya lagi, adalah untuk melakukan sesuatu yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

"(Mesejnya) apa saja yang kami lakukan, elakkan rasa syok sendiri," katanya lagi.

Permukiman semalam dihadiri oleh Anwar, 27 menteri kabinet serta 10 pegawai kanan kerajaan.

Menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM), ia dilaksanakan bagi memperkukuh serta memantapkan kesepakatan dan kesepaduan dalam kalangan jemaah menteri.

JPM juga memaklumkan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali turut memberi taklimat berkenaa pelaksanaan (KPI) menteri pada sesi itu.