Skip to main
Logo Malaysiakini

PM: Jangan leka, hutang negara sudah cecah RM1.2 trilion

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan penjawat awam supaya tidak leka memandangkan hutang negara telah mencecah RM1.2 trilion.

Tambah Anwar, hutang negara termasuk liabiliti sudah mencecah RM1.5 trilion dan perkara itu perlu ditangani segera.

Justeru, dia menyeru pegawai kerajaan menghapuskan budaya berpuas hati dan perlu menerima hakikat bahawa keadaan ini tidak seperti dahulu.

"Realitinya sekarang keadaan ekonomi masih belum reda. Ia masih malap, dan ini mempunyai kaitan dengan perkembangan antarabangsa dan global seperti perang Rusia-Ukraine dan pasca pandemik Covid-19.

"Malah IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) selalu menyemak semula ekonomi pada aliran menurun.

"Masalah hutang negara kini sudah mencecah RM1.2 trilion dan jika ia termasuk liabiliti, ia menjadi RM1.5 trilion,” kata Anwar dalam ucapan perasmian dialog Bajet 2023 di Kementerian Kewangan pagi tadi.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, kerajaan boleh menjimatkan sehingga RM4 bilion daripada kebocoran perolehan kerajaan seperti dalam perolehan ketenteraan dan bantuan banjir.

"Dari pengalaman saya, isu on banjir, weapons (senjata), kalau ini diserahkan kepada yang upaya, kita kurangkan.

"Apa consequencenya (apa akibatnya)? Kita alami kebocoran tinggi, belum dua bulan dalam MOF saya kenal pasti ada RM3 hingga RM4 billion boleh selamatkan, bocor kepada parti dan ahli politik.

"Kita boleh selamatkan, mungkin RM10 billion dari kebocoran yang terus berlaku dalam sistem perolehan,” katanya.

Perdana menteri berkata pembaziran boleh dielakkan sekiranya rasuah dibanteras di semua peringkat, termasuk mengubah cara lama iaitu tanpa campur tangan politik atau kepentingan peniaga besar dalam perolehan kerajaan.

Anwar berkata dia juga akan cuba menangani perkara berkaitan hutang negara pada 24 Feb ini di parlimen apabila Belanjawan 2023 yang disemak semula dijangka dibentangkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi PH itu berkata Belanjawan 2023 akan datang akan memberi penekanan kepada pemberian bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menjadi lebih berdaya saing serta mengutamakan ekonomi hijau dan digital.

“Kemampanan tidak boleh dipelihara jika tiada komitmen yang jelas terhadap perubahan iklim, dan satu dasar yang jelas untuk pulihkan kehijauan negara ini,” katanya.

Dia turut menegaskan sektor PKS merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara kerana menyediakan peluang pekerjaan.

Justeru katanya, sokongan perlu diberikan agar sektor ini dapat berkembang dan bersaing dengan syarikat mega dan pemain besar yang lain.

[Baca berita penuh]