Skip to main
Logo Malaysiakini

MAICCI alami kesukaran dari dasar beku pekerja asing sejak 10 tahun lalu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) mengharapkan kerajaan segera menyelesaikan isu pembekuan pekerja asing yang berlanjut selama lebih 10 tahun.

Presidennya N Gobalakrishnan mendakwa dasar itu - yang diperkenalkan sejak 2013 - telah menjejaskan perniagaan usahawan India yang memerlukan sekitar 50,000 pekerja asing dalam pelbagai sektor perkhidmatan.

Sehubungan itu, MAICCI menggesa agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim dapat campur tangan dalam menyelesaikan isu tersebut.

"Isu pembekuan ini berlanjutan lebih 10 tahun. Dari zaman BN sehingga hari ini masih tidak dapat diselesaikan.

"Harap kerajaan persekutuan yang baru ini mampu memberi penyelesaian kepada masalah yang kami hadapi," katanya di sidang media di pejabat MAICCI di Kuala Lumpur hari ini.

MAICCI merupakan sebuah gabungan dewan perniagaan merangkumi 20 pertubuhan mewakili lebih 17,000 peniaga India di negara ini.

Menurut Gobalakrishnan, Malaysia pada masa ini memiliki hampir 1.7 juta juta pekerja asing yang masuk secara sah.

"Permintaan kami hanyalah 50,000 (pekerja) sahaja untuk beberapa sektor perkhidmatan seperti restoran, tukang emas, tekstil, pengedar surat khabar, gunting rambut, perniagaan runcit dan besi buruk," katanya.

Gobalakrishnan juga sekali lagi menegaskan bahawa bahawa anggota MAICCI sedia memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan jika mereka berminat.

"Kami tidak ada masalah untuk memberi peluang kepada rakyat tempatan. Tapi, mereka tidak bersedia bekerja di sektor-sektor ini.

"Mereka berasa malu dan menganggap sektor-sektor ini tidak sesuai kepada mereka," katanya ketika menjawab pandangan netizen bahawa peniaga tempatan harus memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Dia juga mendakwa kuota pekerja asing dalam sektor perkhidmatan tidak sama rata.

"Kerajaan-kerajaan sebelum ini hanya memberi perhatian kepada industri perkilangan, pembinaan, perladangan dan pertanian yang melibatkan syarikat-syarikat gergasi.

"Namun kerajaan tidak memberi perhatian sewajarnya kepada industri kecil lain yang turut memberi sumbangan yang besar kepada pendapatan negara," katanya.

Kerajaan pada 2013 mengambil keputusan untuk membekukan pengambilan pekerja asing untuk sektor perkhidmatan restoran, tukang emas, tekstil, pengedar surat khabar, gunting rambut, dan besi buruk yang dikenali sebagai perniagaan tradisi masyarakat India.