Skip to main
Logo Malaysiakini

Kementerian akan bincang pendidikan seksual untuk kanak-kanak - Nancy

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menganjurkan mesyuarat penyelarasan dengan kementerian lain yang berkaitan selepas cuti Tahun Baru Cina ini bagi membincangkan keperluan pendidikan seksual untuk kanak-kanak, kata menterinya Nancy Shukri.

Bercakap kepada media hari ini, Nancy berkata perkara itu telah dibangkitkan semasa mesyuarat kabinet, menekankan keperluan untuk membina ekosistem dalam komuniti dengan kementerian yang relevan untuk menangani isu itu.

“Ia tidak sepatutnya terletak di bawah kita (KPWKM) semata-mata,” katanya selepas melancarkan sesi dialog bersama orang ramai untuk Perkhidmatan Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat 2023 di kementerian itu di Putrajaya hari ini.

“Saya akan adakan mesyuarat penyelarasan bukan sahaja dengan Kementerian Pendidikan, kita mahu bawa masuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan kerana kita perlu ada ekosistem dengan masyarakat.

“Kami juga memerlukan Menteri Agama (Mohd Na’im Mokhtar) dan Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh), kerana beliau pernah berkhidmat di kementerian ini sebelum ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, dia berkata tujuan mesyuarat itu juga adalah untuk mengetahui apa yang terkandung dalam modul dan mata pelajaran bagi pelajar yang berada di bawah sistem pendidikan negara pada masa ini.

"Apabila mereka (kementerian berkaitan) ada program, mereka mesti ada program keibubapaan, nilai dan pendidikan."

Terdahulu, Nancy berkata kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengendalikan sebanyak 5,572 kes melibatkan penderaan dan pengabaian kanak-kanak iaitu penderaan fizikal, seksual dan emosi.

Nancy yang juga ahli Pparlimen Santubong berkata kesemua kes ini dikendalikan oleh pegawai JKM yang bertindak sebagai penjaga seperti yang diwartakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Dia turut menyeru pegawai kementerian serta JKM agar sentiasa memantau isu-isu berkaitan kanak-kanak yang berlaku di media sosial.

Sementara itu, Nancy turut memuji penubuhan suruhanjaya kanak-kanak bebas di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), dengan berkata ia boleh membantu memberikan semak dan imbang kepada kementeriannya serta kementerian lain yang berkaitan.

Dia berkata penubuhan suruhanjaya itu tidak akan mengakibatkan pertindihan tugas di kalangan kementerian.

"Walaupun kementerian kita bertanggungjawab memberi syor kepada suruhanjaya itu, tetapi suruhanjaya itu bukan di bawah kementerian kita.

"Suruhanjaya itu bebas memantau urusan berkaitan dengan kanak-kanak dan akan membantu kementeriannya dan juga kementerian lain seperti KDN dan Kementerian Pendidikan yang berurusan dengan kanak-kanak," katanya.

[Baca berita asal]