Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN: Situasi Pulau Pinang berbeza dari pusat - DAP

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dengan enam negeri dijangka mengadakan pilihan raya pada separuh pertama tahun ini, semua tumpuan kini adalah untuk melihat bagaimana kerjasama baru antara Pakatan Harapan dan BN di peringkat persekutuan serta di Perak dan Pahang itu bakal diterjemahkan.

Ketika pemimpin PH dan BN di Selangor dan Negeri Sembilan, masing-masing melaporkan rundingan awal mereka berjalan lancar, perkara yang sama tidak dapat dikatakan bagi rakan sejawatan mereka di Pulau Pinang.

Pengarah Pilihan Raya DAP Pulau Pinang Wong Hon Wai percaya bukan sahaja masa mungkin tidak mencukupi untuk perbincangan lanjut, tetapi katanya, situasi mereka adalah unik dan berbeza daripada "kerajaan perpaduan" di peringkat persekutuan serta di Perak dan Pahang.

Wong Hon Wai, Pengarah pilihan raya DAP Pulau Pinang

“Kita berdepan senario berbeza daripada negeri-negeri itu atau di peringkat persekutuan yang menyaksikan DUN dan Parlimen tergantung yang menyebabkan mereka terpaksa berkompromi atau membentuk hubungan kerja dengan gabungan lain.

“Situasi kami unik kerana kami mempunyai sokongan yang cukup kuat di negeri ini (Pulau Pinang), jadi dengan perkiraan ini, pendekatan kami mungkin berbeza daripada beberapa negeri lain,” kata Wong ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Pada Isnin (16 Jan) lalu, Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata mereka sedang menunggu arahan daripada pemimpin di peringkat nasional mengenai kerjasama dengan BN pada pilihan raya negeri akan datang.

Menurutnya, dia lebih suka sekiranya pilihan raya negeri diadakan pada pertengahan tahun ini dan mengharapkan penjelasan lanjut.

Wong berkata Chow, yang juga ketua menteri Pulau Pinang, sebelum ini menyebut beberapa kemungkinan senario pada pilihan raya negeri itu, termasuk mengadakan kerjasama penuh dengan BN secara keseluruhan atau sekadar hanya "persefahaman pilihan raya" dengan Umno.

Khususnya, Wong berkata, persefahaman pilihan raya mungkin melibatkan memastikan Harapan dan Umno tidak bertembung dalam pertembungan pelbagai penjuru menentang Perikatan Nasional (PN) di kerusi tertentu.

Secara khususnya, katanya, kerusi DUN yang akan menjadi tumpuan adalah kerusi-kerusi di tiga kawasan parlimen di Pulau Pinang - Kepala Batas, Permatang Pauh dan Tasek Gelugor - yang dimenangi PN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Terdapat sejumlah sembilan kerusi DUN di tiga kawasan parlimen berkenaan. Ia adalah Penaga, Bertam, Pinang Tunggal, Seberang Jaya, Permatang Pasir, Penanti, Permatang Berangan, Sungai Dua dan Telok Ayer Tawar.

“Tetapi untuk kerusi lain, kami menang walaupun dalam pertarungan tiga penjuru. Jadi tidak mungkin kami akan menyerahkan kerusi yang telah kami menangi.

“Itulah realitinya. Ini secara umumnya adalah pandangan beberapa pemimpin dan akar umbi.

“Apa sahaja kerusi yang kami menangi, kami mahukannya. Mana-mana kerusi lain yang kami tidak berjaya, itu boleh dibincangkan. Ini asas kami untuk perbincangan lanjut (antara PH dan BN),” kata Wong.

Menurutnya, sudah tentu, matlamat utama PH aalah untuk memastikan perlawanan satu lawan satu menentang PN pada pilihan raya negeri nanti.

Walaupun begitu, Wong berkata masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan konkrit mengenai kerjasama PH-BN di Pulau Pinang.

Dia menegaskan bahawa Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dijadualkan untuk mengadakan sidang terakhir pada Mac sebelum tarikh akhir untuk mengadakan pilihan raya pada pertengahan tahun ini.

“Dalam tempoh beberapa bulan, akan ada perkembangan baru, jadi kita sentiasa berfikiran terbuka mengenai perkembangan terkini di peringkat persekutuan dan negeri sebelum membuat keputusan muktamad... dengan bimbingan pimpinan PH pusat,” katanya.

[Baca berita penuh]