Skip to main
Logo Malaysiakini

Prosiding kes SRC Najib ditangguh ke 20 Feb

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Semua mata tertumpu pada cubaan terkini Najib Razak untuk membatalkan sabitan bersalah ke atasnya dalam kes rasuah membabitkan RM42 juta dana daripada SRC International Sdn Bhd (SRC), di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.

Setelah gagal di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, bekas perdana menteri itu memohon panel mahkamah tertinggi baru untuk mendengar semakan dikemukakannya terhadap sabitan dan hukuman sebelum ini.


Najib balik semula ke Penjara Kajang

4.05 petang: Bekas perdana menteri Najib Razak akan diiringi pegawai penjara untuk pulang ke Penjara Kajang, berikutan penangguhan pendengaran semakan kes SRC petang ini kepada 20 Feb depan.


4 petang: Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli membenarkan permohonan peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan prosiding petang ini kepada 20 hingga 22 Feb depan.

Shafee memohon penangguhan itu kerana dia memerlukan 45 minit lagi untuk menggulung hujahan lisannya. Dia sebelum ini mendakwa panel mahkamah tertinggi yang diterajui oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat tahun lalu telah terkhilaf dalam menafikan permohonan pasukan peguam Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan rayuan SRC.


3.50 petang: Prosiding bersambung semula dengan peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah meneruskan penghujahan lisannya tentang mengapa hakim sebelum ini terkhilaf kerana tidak membenarkan pasukan peguam Najib Razak ketika itu memohon penangguhan rayuan SRC International Sdn Bhd.

Pasukan guaman ketika itu terdiri daripada peguam Hisyam Teh Poh Teik serta peguam dari firma guaman Zaid Ibrahim Sufian TH Liew & Partners.


3.38 petang: Mahkamah berhenti rekat seketika.


2.55 petang: Muhammad Shafee Abdullah menafikan kenyataan pihak pendakwaan bahawa Najib Razak mendapat layanan istimewa apabila memohon penangguhan rayuan SRC di hadapan Mahkamah Persekutuan pada tahun lalu.

“Apakah layanan istimewa yang kamu (pendakwaan) cakapkan? Anak guam saya meminta untuk dilayan seperti orang lain.

"Beliau (Najib) hanya meminta penangguhan (untuk membantu menyediakan rayuan). Mengapa kita tergesa-gesa?" kata ketua pasukan peguam bela Najib.

Shafee menegaskan bahawa kes berkenaan mungkin jenayah kolar putih yang paling rumit.

Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan - yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat - menolak permohonan pasukan peguam Najib ketika itu untuk penangguhan antara tiga hingga empat bulan.

Pasukan undang-undang ketika itu meminta penangguhan untuk membolehkan mereka bersedia untuk rayuan kes SRC.


2.42 petang: Peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah menafikan terdapat konspirasi antara dirinya dan peguam dari firma guaman Zaid Ibrahim Sufian TH Liew & Partners untuk menangguhkan rayuan perbicaraan SRC Najib Razak tahun lepas.

Shafee berhujah bahawa ini adalah kerana terdapat persaingan sengit antara dia dan firma guaman berkenaan. Firma guaman itu mewakili bekas perdana menteri itu dalam rayuan SRC yang gagal tahun lalu.

Menurut Shafee, ketika itu "tidak diberitahu kebenaran" dan firma guaman tersebut tidak pernah melakukan mengendalikan undang-undang jenayah sebelum bertindak untuk bekas perdana menteri itu.

Sebahagian daripada alasan permohonan semakan SRC sekarang adalah bahawa mahkamah tertinggi telah terkhilaf dalam menafikan permohonan untuk penangguhan oleh firma guaman lain itu serta peguam Najib yang lain ketika itu, iaitu Hisyam Teh Poh Teik.


2.15 petang: Ketua pasukan pembelaan Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah pihaknya memerlukan masa tambahan selama tiga hari untuk membolehkan mereka mengemukakan hujah semakan.

Kata Shafee ketika ini sudah separuh hari berlalu dan bertanya jika para hakim di Mahkamah Persekutuan itu boleh memberikan masa tambahan tersebut.

Bagaimanapun, hakim mengingatkan peguam terbabit bahawa masih ada setengah hari lagi pada hari ini untuk pasukan pembelaan mengemukakan hujah.

Shafee kemudian menyambung hujahnya.


2.06 petang: Mahkamah Persekutuan menolak bantahan awal oleh pasukan peguam Najib Razak untuk mengetepikan hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais daripada menjadi sebahagian daripada panel yang mendengar semakan kes SRC bekas perdana menteri itu.

Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli membacakan keputusan sebulat suara membenarkan Abu Bakar menjadi sebahagian daripada panel yang hadir.

“Kami tidak diyakinkan bahawa Abu Bakar Jais harus menarik diri daripada mendengar permohonan semakan ini.

“Undang-undang adalah jelas bahawa Ketua Hakim Negara diberi kuasa budi bicara untuk membolehkan hakim Mahkamah Rayuan bersidang di mahkamah persekutuan (bangku simpanan) demi kepentingan keadilan mengikut Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Abdul Rahman Sebli

Ketua peguam bela Muhammad Shafee Abdullah kemudiannya memulakan penghujahan lisan berhubung semakan terhadap sabitan SRC dan hukuman terhadap Najib.


2.05 petang: Prosiding Mahkamah Persekutuan bersambung.


12.08 tengah hari: Prosiding hari ini akan disambung pada jam 2 petang nanti.

Hal itu dimaklumkan kepada media oleh kakitangan Istana Kehakiman.

Dalam prosiding itu nanti panel lima hakim terbabit dijangka akan membuat keputusan sama ada menerima bantahan daripada pasukan pembelaan Najib atau sebaliknya.


11.51 pagi: Prosiding ditangguhkan seketika bagi membolehkan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berhubung bantahan awal pasukan peguam Najib Razak.


11.45 pagi: Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram secara lisan berhujah pasukan peguam Najib Razak tidak menunjukkan kepada mahkamah sebarang unsur mala fide (niat buruk) dalam pemilihan hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

"Tiada apa-apa di hadapan mahkamah ini untuk menunjukkan mala fide atau sebaliknya. Segala-galanya (hujah terdahulu pasukan pembelaan) adalah agakan meneka," kata Sithambaram.


11.32 pagi: Lima hakim Mahkamah Persekutuan memasuki kamar mahkamah semula untuk menyambung prosiding.

Ketua pasukan peguaman Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah menyambung penghujahan lisannya berhubung permohonan mengetepikan hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais daripada panel Mahkamah Persekutuan hari ini.


11 pagi: Mahkamah Persekutuan berhenti rehat buat sementara waktu. Kes itu dijangka disambung semula kemudian.


10.46 pagi: Muhammad Shafee Abdullah berkata pihaknya hanya mengetahui bahawa hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais adalah sebahagian daripada panel yang bersidang untuk mendengar permohonan Najib Razak ialah kira-kira jam 9.22 pagi tadi.

Peguam Najib itu memberitahu, atas sebab itulah dia tidak boleh mengemukakan bantahan lebih awal terhadap penyertaan Abu Bakar.


10.45 pagi: Penyokong Najib Razak terus setia menunggu di luar bangunan Istana Kehakiman sambil mengharapkan bekas perdana menteri terbabit dibebaskan pada akhir perbicaraan hari ini.

Anggota Umno Wangsa Maju, Nuriah Daud, yang mendakwa turut mewakili Laskar Siber Malaysia berkata, mereka berharap Najib mendapat "keadilan".

“Kami datang dari merata-rata tempat... dari Pahang, Melaka.

"Harapan kami adalah untuk mendapatkan perbicaraan yang telus," kata Nuriah.

Nuriah Daud

Ahli Umno Kapar, Alan Ridzuan Radin, menegaskan mereka bukan "penyokong membuta tuli" Najib tetapi mendakwa ada banyak lagi "watak lebih teruk " dalam Umno yang terlepas daripada tindakan kerana amalan rasuah.

"Masih ramai penyangak dalam Umno...Biarlah tidak ramai ahli Umno (yang tinggal) tetapi mereka mesti berakhlak bersih," kata Alan yang juga seorang pemimpin NGO.

Kumpulan penyokong Najib itu berjumlah kurang daripada 30 orang tetapi mendakwa terdapat lebih ramai yang menunggu di lokeasi lebih jauh dari Istana Kehakiman.

Alan Ridzuan Radin

Salah seorang penyokong mengangkat plakad dengan imej Najib dengan mesej solidariti daripada "Gabungan Gerakan untuk Dato' Seri Najib".


10.43 pagi: Timbalan pendakwa raya V Sithambaram membantah hujah pasukan undang-undang Najib Razak yang didakwanya cuba menentukan bagaimana hakim mahkamah tertinggi sepatutnya dibentuk.

Katanya Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sudah memenuhi keperluan Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan semasa memilih hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais untuk menyertai panel bagi mendengar permohonan Najib.

Sithambaram mendakwa usaha pasukan pembelaan Najib untuk menentukan bagaimana panel hakim mahkamah tertinggi negara dibentuk atas alasan berat sebelah adalah boleh ditolak serta menghina.


10.27 pagi: Peguam Muhammad Shafee Abdullah secara lisan berhujah bahawa terdapat tujuh hakim Mahkamah Persekutuan sekarnag yang boleh dipilih untuk bersidang dan mengisi panel panel tertinggi hari ini.

Peguam itu berhujah Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mengikut Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan, tidak menunjukkan kepentingan keadilan yang menyebabkan hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais dipilih untuk duduk dalam panel hari ini.

Katanya selain Abu Bakar, terdapat beberapa lagi ahli panel yang boleh dipilih daripada kalangan tujuh hakim Mahkamah Persekutuan.


10.07 pagi: Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram membalas hujah Shafee mengenai pembabitan hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais dengan merujuk Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.

Kata Sithambaram peruntukan itu membolehkan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mendapatkan hakim Mahkamah Rayuan untuk menyertai panel Mahkamah Persekutuan jika mendapati ia perlu demi kepentingan keadilan.


9.58 pagi: Peguam bela Muhammad Shafee Abdullah memohon agar hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais tidak hadir bagi mendengar bantahan awal hari ini.

Shafee berkata ia adalah kerana bantahan awal itu secara peribadi memberi kesan kepada Abu Bakar.


9.46 pagi: Peguam bela Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah membangkitkan bantahan awal terhadap hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais yang menjadi sebahagian daripada panel bersidang hari ini bagi mendengar semakan bekas perdana menteri.

Peguam veteran itu berhujah bahawa hanya hakim Mahkamah Persekutuan wajar menjadi panel.

Peguam kanan yang mengetuai pasukan pembelaan Najib mengemukakan bantahan dengan merujuk kepada Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.


9.42 pagi: Lima hakim sedia untuk memulakan prosiding. Bekas perdana menteri Najib Razak pula kelihatan berada dalam kandang tertuduh.


9.28 pagi: Isteri Najib Rosmah Mansor memasuk Istana Kehakiman dengan memakai pakaian sedondon hijau, bersama seorang pembantu.

Di tingkat atas di dalam bilik mahkamah, Najib sedang menunggu perbicaraan dimulakan.


9.28 pagi: Najib Razak diiringi pegawai Penjara Kajang ke bilik mahkamah untuk menunggu prosiding bermula.

Bekas perdana menteri itu dilihat dikelilingi oleh penyokongnya di galeri awam.


9.13 pagi: Peguam kanan, Muhammad Shafee Abdullah, mengetuai pasukan guaman lapan orang yang mewakili Najib Razak.

Peguam lain ialah Sarah Abishegam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Syafiqah Sofian, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Alaistair Brandah Norman, Umi Nafesah Mohd Noor, dan Genevieve Vanniasingham.

Sementara itu V Sithambaram mengetuai pasukan pendakwaan selaku timbalan pendakwa raya. Pasukan itu turut dianggotai Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul, dan Manjira Vasudevan.


9.04 pagi: Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan orang untuk mendengar permohonan semakan Najib Razak.

Hakim lain ialah Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang, dan Nordin Hassan (ketiga-tiganya hakim Mahkamah Persekutuan) serta Abu Bakar Jais (hakim Mahkamah Rayuan).

Abdul Rahman Sebli

8.50 pagi: Najib Razak di Mahkamah Persekutuan menaiki kenderaan hitam polis. Dia dibawa dari Penjara Kajang.


8.30 pagi: Polis dan pegawai mahkamah mengarahkan media yang menunggu Najib tiba agar beredar dari tempat berkumpul di sepanjang laluan di luar pintu masuk belakang mahkamah.

Sesetengah petugas media sudah berada di kawasan mahkamah seawal jam 7.30 pagi lagi.

Polis kemudian mengiringi wartawan dan jurugambar untuk berada di lokasi berhampiran, kira kira-kira 500 meter dari situ. Penghadang juga dipasang

Sementara itu kira-kira 10 penyokong Najib yang berpakaian merah dan biru Umno turut hadir, mengangkat sepanduk dengan mesej solidariti dan keadilan untuk "Bossku".

Di dalam bangunan mahkamah, lebih ramai wartawan mahkamah berdaftar untuk membuat liputan pada perbicaraan hari ini.


Pada 23 Ogos tahun lepas, lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib atas sabitan satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pengubahan wang haram.

Hakim lain yang mendengar permohonan Najib ketika itu ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim; serta hakim Mahkamah Persekutuan P Nallini, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Abang Iskandar dan Zabidin baru-baru ini dilantik masing-masing menjadi Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya.

Jawatan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak kini disandang oleh Abdul Rahman Sebli.

Kini dikurung di Penjara Kajang, Najib juga sedang mengusahakan pembebasannya melalui cara lain termasuk mendapatkan pengampunan diraja serta menghantar petisyen kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menerusi permohonan semakan sekarang, Najib berhujah bahawa hakim perbicaraannya Mohd Nazlan Mohd Ghazali - yang telah dinaikkan dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke Mahkamah Rayuan - berada dalam konflik kepentingan apabila beliau mendengar dan memutuskan kes SRC.

Najib diwakili pasukan pembelaan diketuai peguam Muhammad Shafee Abdullah, manakala pendakwaan diketuai oleh V Sithambaram.

Antara kemungkinan hasil semakan hari ini ialah Najib mendapat pembebasan penuh, atau rayuannya didengar semula panel hakim yang berbeza, atau mendapat perbicaraan semula kes SRC di hadapan hakim mahkamah tinggi yang baru.