Skip to main
Logo Malaysiakini

PM: Malaysia Madani tak akan pinggirkan golongan minoriti

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata “Malaysia Madani” tidak akan meminggirkan golongan minoriti meski mengiktiraf Melayu sebagai majoriti.

“Tunggak negara kita masih majoriti Melayu dan dengan penekanan kepada prinsip Islam, bahasa Melayu dan hak Melayu tetapi kita adalah sebuah negara berbilang kaum.

“Kita tidak mahu negara ini maju tetapi kumpulan rakyat tertentu, sama ada kaum minoriti atau miskin atau di luar bandar atau di Sabah atau Sarawak, masih ketinggalan,” katanya pada program Membangun Malaysia Madani di Putrajaya hari ini.

Anwar memberi jaminan kepada kumpulan minoriti di negara ini yang merasakan ada usaha bersepadu untuk meminggirkan mereka bahawa kerajaan tidak akan membenarkan perkara ini berlaku.

Anwar memetik Sabah dan Sarawak sebagai contoh, berkata sebaik sahaja memegang jawatan perdana menteri, dia sudah meminta Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof untuk mengetuai satu pasukan dalam menyelesaikan isu berkaitan dua negeri di Malaysia Timur itu.

Lebih banyak maklumat terkini mengenai perkembangan perkara itu akan diumumkan esok, selepas mesyuarat yang dijadualkan di Kuching, Sarawak.

Anwar juga menyatakan bahawa terdapat keperluan untuk membangunkan perkara berkaitan majoriti bumiputera Melayu.

Pada masa yang sama, dia memberi amaran supaya tidak mencetuskan sentimen perkauman.

“Apa yang terancam bukan soal kaum. Yang terancam, kalau ada rasa mendesak dan tertekan adalah pemimpin yang korup dan sombong.

“Mudah-mudahan, kita dapat memperbaiki perkara ini dalam catatan sejarah dan memulakan lembaran baru,” katanya.

Menghuraikan lebih lanjut mengenai slogan baru pentadbirannya, Anwar berkata negara perlu menghentikan obsesi untuk mengukur kejayaan semata-mata melalui pembangunan ekonomi dan angka.

Katanya, pembangunan kemanusiaan negara juga penting.

“Obses ini terhadap angka pertumbuhan, angka pelaburan asing, semua jenis angka tanpa menekankan kesannya kepada rakyat secara holistik; itu pada saya, tidak membantu.

“Itulah sebabnya saya bercakap tentang ekonomi kemanusiaan kerana ia akan menolak prinsip kapitalisme tidak terkawal yang diamalkan oleh kita,” katanya.