ULASAN | Sebab keempat Muhyiddin tak jadi ketua pembangkang
Saya telah berikan tiga sebab mengapa Muhyiddin Yassin tidak menjadi ketua pembangkang di parlimen walaupun dia masih belum berputus asa dengan cita-citanya untuk menjadi perdana menteri.
Sebab-sebab ini adalah keengganannya untuk berhadapan dengan tiga isu di parlimen, iaitu:
- Dia merupakan perdana menteri pintu belakang pertama Malaysia yang tidak berani menguji keabsahannya di parlimen melalui undi kepercayaan.
- Penggantungan sidang parlimen secara haram dan tidak sah yang dibuatnya.
- Kegagalannya untuk mengendalikan wabak Covid-19 menyebabkan Malaysia berhadapan dengan gelombang penularan terpanjang di dunia.
Ada sebab keempat, rekod buruknya dalam menentang rasuah semasa menjadi perdana menteri “pintu belakang”.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang pertama terbukti menjadi satu kegagalan walaupun sekiranya diberikan ruang selama lima tahun – dan bukannya ditumbangkan secara tidak sah selepas 22 bulan pada Februari 2020 – kerajaan ini mungkin dapat mencatatkan prestasi yang baik.
Kerajaan PH ini telah memberikan hadiah Tahun Baru Cina yang terbaik pada bulan Januari 2020 apabila Malaysia mencatatkan kedudukan di tempat ke-51 dengan markah 53/100 dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI CPI).
Mencatatkan peningkatan sepuluh anak tangga dan enam markah: kedudukan terbaik negara dalam sejarah 25 tahun.
Sekiranya PH terus menjadi kerajaan untuk sepenuh penggal sehingga 2023, dengan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri untuk setengah penggal kedua, Malaysia akan berada dalam kalangan 40 negara terbaik dunia dari segi integriti awam.
Dan sekiranya PH terus mentadbir sehingga ke hujung dekad, Malaysia akan berada dalam kalangan 30 negara terbaik dunia.
Kerajaan PH terbukti menjadi penawar terbaik atmosfera suram yang menyelubungi Malaysia pada tahun 2018.
Namun, konspirasi politik Langkah Sheraton telah menumbangkan kerajaan PH dan meneruskan kemerosotan negara dalam TI CPI.
Dalam TI CPI 2020, kita jatuh enam anak tangga, dari tempat ke-57 ke tempat ke-51 dengan 51 markah.
TI CPI 2021 mencatatkan prestasi yang lebih buruk, di mana Malaysia mencatatkan kemerosotan lima anak tangga lagi, jatuh ke tempat ke-62 dengan markah 48/100.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pastinya sedang risau dengan penerbitan TI CPI 2022, yang kita dijangka berada dalam kedudukan rendah dengan markah dan kedudukan carta paling buruk dalam sejarah 28 penerbitan Indeks ini.
Kerajaan perpaduan Anwar tidak boleh berbuat apa-apa untuk mengubah TI CPI 2022 – yang bakal diterbitkan tidak lama lagi – tetapi TI CPI 2023 akan menjadi petanda kesungguhan usaha membanteras rasuah kerajaan perpaduan ini untuk membersihkan Malaysia dari rasuah dan kleptokrasi sekiranya kerajaan ini dapat bertahan selama setahun.
Masa sedang berjalan untuk TI CPI 2023 dan kerajaan perpaduan Anwar perlu menunjukkan prestasi yang baik untuk TI CPI 2023.
Rakyat Malaysia tidak mahu melihat berulangnya episod TI CPI 2020 yang berlaku semasa pentadbiran Muhyiddin.
LIM KIT SIANG ialah ahli politik veteran daripada DAP.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai