Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Teknologi AI mampu tangani cabaran jaminan makanan 

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Negara kini menghadapi dua cabaran semasa iaitu perubahan iklim dan  jaminan makanan yang memerlukan campur tangan teknologi tinggi untuk  menanganinya. 

Kedua-dua cabaran ini mempunyai hubung kait yang boleh  mendatangkan kesan buruk yang besar jika tiada sebarang perancangan  rapi jangka masa panjang dibuat. 

Tambahan lagi, kebergantungan sumber makanan Malaysia yang tinggi dari  luar negara yang melebihi nilai RM60 bilion pada tahun 2021 boleh  mendatangkan risiko yang tinggi apabila berlaku krisis ekonomi atau  kesihatan seperti pandemik Covid-19 yang lalu. 

Cabaran semasa berkaitan perubahan iklim di Malaysia termasuk  peningkatan suhu, pola hujan yang tidak menentu, dan peningkatan  frekuensi dan intensiti bencana alam seperti banjir dan kekeringan  menjejaskan sektor pertanian, seterusnya memberi kesan kepada jumlah  hasil tanaman di pasaran. 

Hal ini boleh membawa kepada peningkatan  harga makanan di pasaran yang akan membebankan kos sara hidup rakyat. 

Satu jalan penyelesaian mampan perlu dirangka dan dilaksanakan dengan  segera supaya hasil pertanian mampu memenuhi permintaan makanan dalam negara dan seterusnya mengurangkan kebergantungan makanan  import. 

Oleh yang demikian, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti)  memiliki tanggungjawab untuk memimpin negara dalam mencari  penyelesaian kepada cabaran-cabaran tersebut. 

Pendekatan berasaskan  Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bukan sahaja dapat melindungi rakyat  dari kesan buruk bencana, malah ia juga dapat memacu ekonomi negara  serta meningkatkan kualiti hidup rakyat. 

Dalam merangka tindak balas awal untuk mengatasi cabaran semasa  seperti perubahan iklim dan jaminan makanan, kemampuan daya jangka STI  (STI foresight) yang berpandu pada data sangat penting. 

Ini adalah untuk  memastikan negara dapat menyediakan pelan mitigasi dan adaptasi yang  lebih cekap untuk menghadapi cabaran tersebut. 

Namun pada masa yang  sama, Mosti perlu meneroka pembangunan teknologi tinggi baharu yang  boleh diaplikasikan dan dikomersialkan dalam sektor industri bagi mendepani  cabaran tersebut. 

Amanat Lih Kang 

Selari dengan kenyataan Menteri Mosti, Chang Lih Kang semasa  sidang media selepas Majlis Amanat 2023 baru-baru ini, fokus perlu  diberikan kepada pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi  mendepani cabaran semasa sejajar dengan Pelan Hala Tuju Negara  Kecerdasan Buatan 2021-2025 (AI-RMAP). 

“Teknologi artificial intelligence boleh membantu kita menyelesaikan  masalah besar yang kita hadapi sekarang, terutamanya food security (jaminan makanan) dan juga perubahan iklim,” ujar Chang. 

Teknologi AI dianggap sebagai teknologi masa hadapan yang akan  memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi dan mewujudkan  bakat berkemahiran tinggi. 

Menurut MarketsandMarkets Research,  dianggarkan nilai pasaran AI global mampu mencecah AS$190 bilion  menjelang tahun 2025. 

Dapatan ini seharusnya mendorong lebih banyak  pemain industri untuk terlibat dalam pembangunan teknologi AI  memandangkan ia mampu untuk dikomersialkan dalam dan luar  negara. 

Kepesatan teknologi AI juga telah menuntut keperluan bakat-bakat  baru untuk menceburkan diri dalam industri tersebut yang menawarkan gaji  dan pendapatan yang sangat baik. 

Selain itu, peningkatan keupayaan teknologi AI telah membolehkan  teknologi tersebut diintegrasikan dalam pelbagai sektor industri termasuklah  sektor pertanian. 

Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun dan China  juga telah menggunakan teknologi AI secara meluas yang telah terbukti  mampu meningkatkan hasil tanaman pada kadar penggunaan sumber yang  optimum. 

Dengan kemajuan teknologi dan peningkatan keperluan untuk  penghasilan makanan yang lebih efisien dan mampan, dijangkakan lebih  banyak negara akan mengaplikasikan teknologi AI dalam sektor pertanian  mereka. 

Penerapan teknologi AI dalam industri pertanian telah membawa kepada  pengenalan kaedah-kaedah baru seperti precision agriculture yang  mengaplikasikan machine learning dan Internet benda (IoT) bagi tujuan pembajaan dan pengurusan tanaman. 

Kemajuan ini semestinya mampu  meningkatkan hasil tanaman dan memastikan sumber dapat diuruskan  dengan lebih efisien. 

Selain itu, teknologi-teknologi berasaskan AI seperti  dron, sensor, dan sistem pengairan dapat dibangunkan untuk  mengoptimumkan hasil tanaman. 

Sokongan kerajaan, bakat tempatan

Government AI Readiness Index 2020 oleh Oxford Insights meletakkan  Malaysia di posisi nombor satu di Asia Tenggara dan nombor 28 di peringkat  global. 

Dapatan ini menunjukkan potensi besar yang dimiliki negara  dalam membangunkan teknologi AI dan seterusnya menjadi pemain utama  di peringkat global. 

Sokongan kerajaan, kewujudan bakat dan kemahiran  tempatan, sektor kajian dan pembangunan (R&D) dan penglibatan industri merupakan beberapa faktor utama yang menyumbang kepada  pembangunan teknologi AI dalam negara. 

Justeru, bagi memastikan perkembangan teknologi AI dalam Negara sudah  semestinya memerlukan sokongan daripada syarikat-syarikat pemula  dan pemain industri yang perlu mengadaptasi dengan budaya  baharu yang berasaskan inovasi. 

Transformasi sektor pertanian berasaskan  digital dan teknologi AI mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran  makanan dalam negara dan seterusnya menangani cabaran jaminan  makanan, di samping dapat menjana pulangan yang baik kepada syarikat  dan perniagaan. 

Penetapan hala tuju melalui AI-RMAP membuktikan komitmen Mosti  dalam menerokai teknologi AI bagi memacu pembangunan dalam pelbagai  sektor termasuklah industri pertanian. 

Mosti akan bekerjasama rapat dengan agensi dan pemain industri dalam usaha mewujudkan ekosistem  inovasi AI yang kondusif bagi mempercepatkan adaptasi teknologi AI. 

Melihat kepada potensi dan peluang pasaran, teknologi AI mampu menjadi  salah satu pendorong kepada pembentukan Negara berteknologi tinggi  menjelang 2030, seiring dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara  (DSTIN) 2021-2030. 

Ia juga seiring dengan aspirasi menteri Mosti yang mahu melihat negara mengambil langkah  proaktif melalui pengaplikasian teknologi AI dalam menangani isu dan  cabaran semasa negara. 


MUHAMMAD ARSHAD HASSNI merupakan setiausaha akhbar kepada  Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang. Penulis  merupakan graduan ijazah sarjana muda kejuruteraan material dari  University of British Columbia, Vancouver, Kanada. Beliau juga memiliki  ijazah sarjana ekonomi dari Universiti Malaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.