PULASAN | Madani dalam bahasa ramah dan rahmah
PULASAN | Entah apa agaknya yang bermain-main dalam fikiran menteri yang kelihatan tekun mendengar Anwar Ibrahim bersyarah di Putrajaya pada 19 Jan lalu.
Bukanlah aneh untuk melihat Anwar sebagai orator mahir yang mudah mempersonakan penonton, dan bukanlah asing untuk para anggota kabinet dan pegawai kanan kerajaan khusuk mendengarkan 'amanat' seorang perdana menteri.
Begitulah zahirnya; manakala secara batin, justeru itu muncul pertanyaan pada ayat pertama di atas.
Sesetengah orang tiba-tiba terimbau kenangan hampir 30 tahun lalu. Mereka terkenang zaman seorang Anwar sebagai timbalan perdana menteri yang selalu mengagumkan banyak pihak (walaupun pada masa sama menjengkelkan pihak yang lain pula).
Dalam kalangan para menteri yang kelihatan tekun di depan Anwar pada 19 Jan lalu, sudah tentu sesetengah mereka adalah orang yang kenal dekat dengan ahli parlimen Tambun berkenaan hampir 30 tahun silam.
Setidak-tidaknya Ahmad Zahid Hamidi itulah. Sudah tentu ada ramai lagi yang kenal akan perkataan "madani" yang disyarahkan oleh Anwar dengan ghairah di Putrajaya.
Barangkali ramai antara mereka yang menarik nafas panjang sambil melayan nostalgia masing-masing dan terbayang pelbagai detik silam, manakala sebahagian lain bertanya: "Di mana silapnya kita ini?"
Dan jangan terkejut jika ada antara orang yang kelihatan tekun mendengar itu menghayati setiap buah bicara perdana menteri dengan rasa terkilan, dendam malah menyampah.
Tugas menguatkan bahasa Melayu
Tetapi itulah Anwar dan itulah ilham madaninya. Dia tidak pernah mengaku madani itu ialah ideanya. Anwar sebagai Anwar nampaknya mengakui ia adalah buah fikiran menarik daripada cendekiawan dulu.
Ia mengandungi dasar dan falsafah yang tinggi.
Justeru Anwar sebagai perdana menteri mahu melaksanakan falsafah tersebut dalam dasar kerajaan. Dan ia tidaklah terlalu sukar - sepatutnya - berdasarkan kedudukannya sekarang.
Ia hanya akan menjadi sempit dan payah jika ia dikhianati, lebih-lebih lagi jika dari 'dalam'.
Dan sementara kerajaan menggerakkan Malaysia Madani di depan Anwar pula ialah kerenah sesetengah orang yang selalu 'terkejut' dengan lontaran bahasanya.
Malangnya ia bukan saja dalam kalangan generasi baru, malah turut membabitkan individu yang puluhan tahun lalu sudah mengenal Anwar dan bahasa Melayunya.
Anwar bercakap menggunakan perkataan cerakin mereka terkejut, dia mengambil istilah tatanan mereka tersentak.
Itu belum lagi diambil kira perkataan seperti tatakelola, kesenjangan, nirmala, bobrok, wewenang, cukong, iltizam dan lain-lain lagi.
Betul, sesekali bahasa Anwar nampak seakan tidak tepat, mengada-ngada dan dipaksa-paksakan. Pada ketika yang lain, keanak-anakan. Memaksakan pelbagai perkataan untuk membentuk ungkapan "madani" terkini adalah salah satu contoh kerja keanak-anakan Anwar (atau orang Anwar). Juga perkataan "terkait" yang nampaknya sangat digemari perdana menteri.
Tetapi pada masa sama - jika dikendalikan dengan lihai - inilah peluang yang sangat baik buat para pencinta bahasa menguatkan bahasa Melayu. (Sila ambil perhatian bahawa saya menggunakan perkataan "menguatkan" berbanding "memperkuat" kerana suka atau tidak kita perlu mengakui betapa penggunaan bahasa Melayu sekarang belum kuat).
Kerja menguatkan bahasa Melayu perlu dilakukan oleh orang atau pihak yang tepat, jujur serta tekal, bukannya daripada kalangan oportunis atau si tukang kipas yang sedang mengharapkan apa-apa habuan.
Seorang perdana menteri yang mencintai bahasa, seni, budaya dan sastera adalah peluang terbaik yang terhidang bagi melihat cabang ilmu itu dikembangkan semaksimum mungkin.
Dulu-dulu pernah ada pihak yang gigih menganjurkan majlis baca puisi hanya kerana Anwar seorang pencinta sastera dan seni. Memanglah boleh dipersoalkan niat di sebalik kegigihan pihak terbabit tetapi pada masa sama ramai juga orang yang terdedah dengan hal-hal berkaitan keindahan bahasa Melayu.
Sudah menjadi adat, ghalibnya bagaimana kecenderungan seseorang pemimpin, maka begitu jugalah kebanyakan rakyat.
Jika bersungguh-sungguh bekerja si ketua, maka yang lain-lain pun akan begitu jugalah. Andai dia giat memanfaatkan keindahan bahasa, maka bolehlah dijangkakan perangai itu akan dikongsi oleh orang ramai.
Sebaliknya kalau pemimpin itu seorang tokoh yang suka mengada-ngada, jangan harapkan rakyat akan menjadi produktif serta cerdas.
Bersekali dengan dasar negara
Untuk mengharapkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) saja mengerah kudrat yang ada bagi memartabatkan bahasa Melayu sudah tentu bukan sikap yang betul. Selama ini sudah berpuluh-puluh tahun kita melihat kegagalan itu.
Pada ketika tertentu DBP hanya menjadi simbol kepada sedih, daif dan lirihnya bahasa Melayu.
Buat permulaan, mungkin DBP bolehlah cuba menambah baik kemudahan yang ditawarkan oleh mereka. Khidmat Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) itu, misalnya, yang kadang-kadang seperti bertugas mengikut waktu pejabat serta 'bercuti' pada hujung minggu.
Ketika ini kita boleh melihat di mana-mana bagaimana perkataan biasa pun disalahgunakan dengan berleluasa. Gagal membezakan dari dengan daripada, misalnya. Atau meremehkan maksud memetik daripada dipetik.
Selepas bahasa Melayu dikukuhkan betul-betul, barulah kita boleh mengeluh bersungguh-sungguh akan hal-hal lain. Misalnya bertanya mengapa perlu perkataan "oleh" dimatikan pihak penyunting atau pengarang media atas keperluan suntingan serta kepadatan.
Anwar perlu terus rajin mempopularkan pelbagai perkataan bahasa Melayu kepada orang awam. Dia pernah melakukan hal itu hampir 30 tahun lalu sehingga perkataan seperti wacana, wadah, wahana, mapan, mampan dan selainnya dapat diterima ramai.
Ia boleh disekalikan dengan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan. Biarlah Malaysia Madani itu berjalan seiring dengan percambahan bahasa, seni, budaya dan sastera secara sistematik, berkesan, bersasar serta tidak melupakan keramahan dan teduhnya masyarakat.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang pernah bermalam dalam kereta di depan sebuah rumah kampung dua tingkat di Cherok Tok Kun semasa panasnya semangat reformasi pada 1998.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai