'Arahan PM tangani ketirisan dalam k'jaan langkah baik, tapi tak memadai'
Awal minggu ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan jemaah menteri untuk meneliti dan memandang serius Laporan Ketua Audit Negara 2021 dan bertindak mengikut syor yang diberikan dalam laporan itu, dalam usaha menutup ketirisan dana kerajaan.
Walaupun, banyak pihak menganggap langkah ini permulaan yang baik, beberapa pakar tadbir urus membangkitkan persoalan bagaimana pembaharuan di beberapa peringkat diperlukan untuk memerangi isu tersebut.
Bercakap kepada Malaysiakini, ahli ekonomi politik Edmund Terence Gomez berpendapat pembaharuan institusi diperlukan dalam kerajaan untuk menyelesaikan masalah ketirisanuntuk jangka panjang.
Katanya, ini termasuk menambah baik pentadbiran untuk meningkatkan ketelusan.
Mengulas lanjut, Gomez berkata banyak skandal pada masa lalu berlaku semasa proses perolehan projek di bawah bidang kuasa menteri yang diberi kuasa terhadap institusi kewangan lain.
"Kabinet adalah institusi yang sangat berkuasa, yang berhubung dengan pelbagai institusi awam untuk melaksanakan projek Contohnya, 1MDB, yang melibatkan sebuah GLC yang ada hubungan dengan beberapa insititusi lain, seperti SRC.
"Projek diluluskan oleh ahli kabinet yang mempunyai kawalan ke atas institusi kewangan.
"Jadi, sementara apa yang Anwar katakan adalah penting (untuk meneliti laporan Ketua Audit Negara), kita perlu menginstitusikan reformasi untuk memastikan perkara ini tidak berulang," katanya.
Dia membangkitkan penyalahgunaan dana semasa proses perolehan projek melalui perbelanjaan di luar belanjawan, yang membolehkan ahli kabinet melaksanakan projek dengan lebih pantas.
"Sistem (perbelanjaan) di luar belanjawan telah disalahgunakan secara berterusan oleh kabinet agar orang ramai tidak tahu bagaimana sesuatu projek didanai.
"Tiada kerajaan pada masa lalu yang bertindak terhadap perkara ini kerana perbelanjaan luar belanjawan membolehkan kabinet melaksanakan projek dengan cepat.
“Namun, ia membuatkan orang ramai tidak tahu tentang perbelanjaan kerajaan serta hutang yang dikumpul daripada agensi awam," katanya lagi.
Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Tricia Yeoh setuju bahawa pembaharuan institusi perlu dilakukan bagi mengelakkan ketirisan.
Katanya, penguatkuasaan dan tindakan yng membawa hukuman diperlukan apabila melibatkan anggota kabinet.
"Tidak memadai bagi menteri hanya meneliti laporan itu. Mereka mungkin dapat menangani perkara yang disebut dalam laporan Ketua Audit Negara, tetapi bagaimana pula hendak mengurangkan kejadian sama daripada berulang?” soalnya.
Gomez dan Yeoh juga setuju bahawa pembaharuan juga diperlukan dalam SPRM, yang kini terletak di bawah bidang kuasa perdana menteri.
"SPRM jarang dapat bertindak secara berkesan dalam memeriksa skala rasuah yang berlaku dalam kerajaan seperti yang didedahkan dalam laporan Ketua Audit Negara.
"Ada keperluan untuk menjadikannya sebuah institusi yang benar-benar bebas.
"Kedua, pelantikan pesuruhjaya SPRM juga dilakukan oleh perdana menteri, ini satu perkara yang perlu diubah," kata Gomez.
Gomez mempersoalkan mengapa pembaharuan dalam SPRM tidak berlaku walaupun ada skandal melibatkan ketua pesuruhjayanya pada tahun lalu.
"Ia adalah antara perkara pertama yang sepatutnya dia (Anwar) lakukan. Jika dia serius tentang isu ini (kebocoran), maka ini adalah sesuatu yang dia perlu teliti.
"SPRM tidak sepatutnya menuruti pejabat perdana menteri, yang mungkin menjadi sebab mengapa tiada akauntabiliti yang wajar melibatkan mereka yang telah menyalahgunakan kuasa, seperti yang didedahkan dalam laporan ketua audit negara," katanya.
Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengundang kritikan berhubung pemilikan 1,930,000 unit saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015, bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu.
Pegangan sahamnya dalam Gets Global Berhad berkurang kepada 1,029,500 unit pada 31 Mac 2016, bernilai sekitar RM340,000 pada masa itu. Dia juga memegang 2,156,000 waran dalam syarikat Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.
Pemilikan saham pada 2015 dan 2016 telah menimbulkan persoalan sama ada ia sepadan dengan pendapatannya sebagai penjawat awam atau tidak, serta menimbulkan isu konflik kepentingan.
Azam mendakwa saham itu bukan miliknya tetapi dibeli oleh adik menggunakan namanya, mendorong Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SKM) turut terlibat dalam siasatan kemungkinan berlaku salah guna akau dagangannya.
Sementara itu, Timbalan CEO Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) K Sudhagaran Stanley menekankan keperluan untuk membentangkan dua rang undang-undang pada sesi parlimen akan datang.
Salah satunya adalah Rang Undang-undang Perolehan, yang telah pun dibentangkan dalam Pelan Pencegahan Rasuah Nasional (NACP).
"Akta itu sepatutnya dibentangkan pada 2019 di bawah kerajaan PH ketika itu, seperti yang dijanjikan oleh menteri kewangan ketika itu Lim Guan Eng. Namun, ini tidak menjadi kenyataan.
"Laporan Kemajuan NACP pada 2019 dan 2020 melaporkan bahawa Kementerian Kewangan telah merangka undang-undang dan menjalankan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dan akta itu dijangka berkuat kuasa menjelang tahun 2021.
"Apa yang kita lihat di sini adalah janji kosong demi janji kosong yang dibuat oleh ketiga-tiga kerajaan terdahulu," katanya kepada Malaysiakini.
Katanya lagi, rang undang-undang kedua yang amat penting ialah Rang Undang-undang Ombudsman yang menurutnya akan memberi mesej jelas kepada perkhidmatan awam bahawa kerajaan serius dalam agenda reformasi dan akan mempertanggungjawabkan pihak yang terlibat dalam pembaziran dana awam. .
Ombudsman Malaysia ialah badan bebas untuk menyelesaikan aduan awam terhadap agensi kerajaan. Ia pertama kali diluluskan oleh kabinet PH pada 2019.
"Kedua-dua rang undang-undang perolehan dan rang undang-undang ombudsman akan membantu menangani isu ketirisan dana secara holistik.
"Anwar mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan perkara ini dan memastikan NACP dilaksanakan dengan segera.
"Semua pihak tertumpu kepadanya untuk melihat jika dia benar-benar akan membawa pembaharuan kepada bidang penting yang memerlukan perhatian segera," katanya lagi.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan sebaliknya turut mengesyorkan agar jemaah menteri menggunakan KPI untuk menangani semua penemuan audit di kementerian mereka dan menghapuskan sebarang bentuk pembaziran, rasuah atau ketidakpatuhan di kementerian mereka.
Katanya, salah satu punca kemerosotan prestasi Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) TI-M adalah disebabkan kegagalan kerajaan menunjukkan komitmen untuk menangani isu yang dibangkitkan dalam laporan ketua juruaudit.
"Kami berharap di bawah pimpinan Anwar masalah ini dapat ditangani segera," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai