Skip to main
Logo Malaysiakini

'Persahabatan tak pernah putus' - Anwar ke rumah terbuka MCA setelah 25 tahun

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini hadir di majlis rumah terbuka anjuran MCA di Wisma MCA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Ini merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki ke ibu pejabat parti itu sejak hampir 25 tahun.

Ketika ditemui pemberita, Anwar menyuarakan rasa gembira diundang MCA ke sambutan itu.

"Saya ucap terima kasih kepada MCA, khususnya presiden Wee Ka Siong, kerana mengundang saya dan Wan Azizah.

"Saya ingat (ini kali pertama) masuk ke gedung MCA setelah 25 tahun dan saya gembira jumpa kawan-kawan lama. Saya ucapkan Gong Xi Fa Cai, Xin Nian Kuai Le," katanya.

Antara pemimpin lain yang turut hadir adalah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil dan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak Tiong King Sing.

Anwar sememangnya pernah menjadi sekutu rapat MCA ketika dia masih bersama BN. Hubungan itu terhenti setelah dia dipecat dari kerajaan dan BN oleh Dr Mahathir Mohamad pada 1998.

Sejak itu, pengerusi PH itu menjadi antara musuh BN paling sengit, sehinggalah selepas PRU yang lalu, apabila kedua-dua gabungan memutuskan untuk bekerjasama membentuk kerajaan.

Anwar berkata walaupun mempunyai perbezaan dengan MCA buat sekian lama, persahabatan mereka tidak pernah terputus.

"Yang bagusnya persahabatan tidak pernah putus walau (ada) perbezaan parti dan pandangan dari semasa ke semasa. Sekarang baik semula.

"Dulu kita berbeza pandangan...Saya dulu dipecat dari Umno, saya terpaksa lawan. Ketika dalam penjara saya tak sempat datang (sambutan tahun baru Cina MCA).

"Sekarang ada ruang dan nampaknya kita buka saja mesra, tetapi juga satu haluan dalam banyak isu," katanya lagi.