Skip to main
Logo Malaysiakini

Bakar Al-Quran: M'sia kutuk provokasi ahli politik Denmark - PM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi ahli politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan dalam membakar naskhah Al-Quran di Stockholm, Sweden.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tindakan Islamofobia ahli politik itu merupakan provokasi besar kepada umat Islam di seluruh dunia.

Dia menggesa Kerajaan Sweden untuk mengambil langkah segera terhadap pelaku perbuatan keji ini serta memastikan langkah drastik pada masa depan untuk menangani kebangkitan Islamofobia yang membimbangkan di Sweden.

“Penghinaan terhadap Kitab Suci Islam secara terang-terangan oleh ahli politik Sweden itu dan ketiadaan tindakan adalah sama dengan mencetuskan Islamofobia dan merupakan provokasi besar terhadap sensitiviti bukan sahaja terhadap Turkiye tetapi lebih daripada dua bilion umat Islam di dunia.

“Malaysia mengecam jenayah kebencian yang berulang-ulang menyasarkan umat Islam di dunia serta segala bentuk hasutan untuk membenci dan menyemarakkan perkauman dalam perkataan atau perbuatan dan pandangan dengan penuh kebimbangan terhadap gelombang pertuturan kebencian yang semakin meningkat kerana kepercayaan atau etnik,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Anwar mengulangi pentingnya menegakkan prinsip dialog, libat urus dan saling menghormati dalam penyelesaian pertikaian.

Perdana menteri menyeru masyarakat antarabangsa untuk menolak kebencian kaum atau agama dengayang berselindung di sebalik kebebasan bersuara dan terus bersatu menentang segala bentuk hasutan kebencian dan keganasan.

Paludan, yang merupakan ketua parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, telah membakar naskhah Al-Quran dengan pemetik api semasa protes di Stockholm semalam.