Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu sogok pengundi: Cermin diri sebelum 'serang' Hadi - Pemuda PAS

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari meminta pihak yang menyerang Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berhubung isu bayaran wang kepada pengundi untuk bermuhasabah diri.

"Sebelum Datuk Seri Presiden menyerang presiden kami (Hadi) dalam isu rasuah.

"Saya sarankan Datuk Seri membeli cermin, atau gunakan cermin yang ada di kediaman rasmi," katanya pada satu kenyataan, hari ini.

Meskipun tidak menyebut nama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi namun dipercayai Ahmad Fadhli merujuk kepada kenyataan timbalan perdana menteri itu yang mengkritik kenyataan Hadi.

Terdahulu, Zahid membidas kenyataan Hadi berhubung pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya hanyalah ibarat sedekah kepada pengundi.

Zahid berkata, sebagai ulama, mereka perlu mempunyai integriti dan tidak boleh menukar fatwa sesuka hati.

“Kalau dia (PAS) buat, sedekah, kalau kita bagi rasuah. Ulama-ulama ni, jangan tukar-tukar hukum, jangan tukar fatwa.

"Ulama kena ada integriti sebagai ulama, jika tidak ulama politik tidak akan dihormati oleh rakyat dan oleh orang Islam," kata Ahmad Zahid.

Gambar fail, Ahmad Zahid dan Abdul Hadi ketika era kerjasama Muafakat Nasional.

Semalam, Hadi berkata pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan berikutan ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.

The Malaysian Insight (TMI) memetik Ahli Parlimen Marang itu sebagai berkata peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.

"Ikut undang-undang pilihan raya, calon atau wakil calon tak boleh bagi, orang awam nak bagi sedekah terpulang kepada dia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Semarak Gelombang Rakyat bersama Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan.

Abdul Hadi juga menyifatkan petisyen yang difailkan BN untuk mencabar keputusan pilihan raya bagi tiga kerusi Parlimen Terengganu sebagai "perang saraf"