Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersih gariskan sembilan elemen jayakan Malaysia Madani

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yakin matlamat kerajaan untuk melaksanakan dasar Malaysia Madani dapat mencapai sasaran jika sembilan elemen berjaya dipenuhi.

Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata jika sembilan elemen itu dilaksanakan, Malaysia Madani tidak akan menjadi slogan retorik seperti mana kerajaan sebelum ini.

Sembilan elemen yang digariskan Bersih antaranya, mencegah parti politik membeli undi atas nama kebajikan; pengundi tidak menganggap wakil rakyat sebagai mesin pengeluaran wang; peguam negara tidak menggurkan kes ahli politik dan pegawai kerajaan yang korup; tidak menafikan kerajaan negeri pembangkang menerima peruntukan persekutuan dan tidak menukar gabungan atau menjatuhkan kerajaan demi agenda peribadi.

"Kami amat berbesar hati dengan visi Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang diumumkan minggu lalu untuk membina semula negara Malaysia Madani, dengan enam nilai, kemampanan, kemakmuran, inovasi, rasa hormat, kepercayaan dan belas kasihan.

"Walau bagaimanapun, ramai rakyat Malaysia bimbang bahawa Malaysia Madani hanya akan menjadi satu lagi slogan kosong seperti visi dan slogan bekas perdana menteri, daripada 'Bersih, Cekap, Amanah', 'Wawasan 2020', 'Islam Hadhari', '1Malaysia', 'Malaysia Baru', 'Malaysia Prihatin', dan 'Keluarga Malaysia'," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 19 Jan lalu, Anwar memperkenal ‘Malaysia Madani’ sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Madani itu diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

Menjadi tradisi setiap pentadbiran mempunyai jenama atau slogan tersendiri dan konsep Malaysia Madani menggantikan slogan Keluarga Malaysia diperkenalkan pentadbiran perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas lanjut, Jawatankuasa Pemandu Bersih tidak pesimis dengan Malaysia Mandani yang dicetuskan Anwar bagi mengubah Malaysia ke arah lebih baik.

"Bersih sama sekali tidak pesimis dengan Malaysia Madani. Kami melihat potensi penuhnya untuk mengubah Malaysia jika dua syarat dipenuhi.

“Pertama, 'hormat' dan 'kepercayaan' antara parti politik mesti diwujudkan. Kedua, 'Inovasi' mengatasi rintangan perniagaan seperti biasa dalam pembaharuan institusi.

"Kami menanti-nantikan perdana menteri untuk memulakan perbualan nasional merentas parti, merentas sektor, merentas negeri dengan agenda konkrit untuk mengoperasikan cita-cita Malaysia Madani beliau dalam budaya politik dan reformasi institusi," katanya.

Bersih katanya, sentiasa bersedia untuk membantu Anwar dan pemimpin lain dalam Parliman mahupun dan Kabinet bagi menjayakan agenda berkenaan.