Majlis Ulama Umno: Bakar Al-Quran boleh cetus provokasi, tindak balas keganasan
Majlis Ulama Umno mengecam sekeras-kerasnya perlakuan ekstrem bersifat Islamfobik dengan membakar kitab suci al-Quran yang boleh mencetuskan tindakan provokasi dan tindak balas keganasan.
Pengerusinya, Dusuki Ahmad, berkata, penghinaan terhadap mana-mana agama ditolak oleh masyarakat dunia kerana ia akan mencetuskan pertembungan sesama manusia.
"Penghinaan terhadap mana-mana agama ditolak oleh masyarakat dunia kerana ia mencetuskan pertembungan sesama manusia.
"Ia juga jelas bertentangan dengan etika kemasyarakatan yang menghormati hak asasi manusia untuk mengamalkan agama anutan mereka.
Gesa k’jaan Sweden mohon maaf
"Tindakan melampau ini sudah tentu menyuburkan lagi emosi kebencian sesama manusia dan merobek keamanan bermasyarakat.
“Malah ia boleh mencetuskan tindakan provokasi dan tindak balas termasuk keganasan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 21 Jan lalu, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark, Denmark Hard Line, Rasmus Paludan (gambar, bawah) menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.
Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Malaysia menerusi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengutuk sekerasnya perbuatan demikian dan menuntut supaya kerajaan Sweeden mengambil tindakan tegas.
Selain itu, Majlis Ulama Umno turut menuntut kerajaan Sweden memohon maaf kepada seluruh umat Islam dunia dan masyarakat antarabangsa atas kegagalan membendung kejadian jelek tersebut berlaku di negara itu.
Sementara itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan Sweden supaya mengambil tindakan sewajarnya terhadap "kebencian yang mengerikan" terhadap Islam.
Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata tanpa mengira niat sebenar pemimpin berkenaan, tindakan keji itu adalah provokasi yang jelas dan sangat tidak menghormati nasyarakat Islam di seluruh dunia.
"Paludan juga telah menyalahgunakan hak kebebasan bersuara dengan ketara dan dengan berbuat demikian, menjejaskan semangat hidup bersama secara aman dalam dunia berbilang agama.
"Umno menggesa kerajaan Sweden untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap kebencian yang mengerikan ini terhadap Islam," katanya dalam satu kenyataan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai