Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan tumpu usaha turunkan harga bahan mentah, kata PM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sememangnya menumpukan usaha mencari penyelesaian bagi menurunkan harga bahan mentah.

Beliau berkata ia termasuk memastikan pengeluaran mencukupi serta memberi dukungan kepada pengeluar domestik bagi produk telur, ayam dan sayuran.

Anwar mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang menyeru kerajaan mencari jalan penyelesaian untuk menurunkan harga bahan mentah.

"Tidak apa kita dengarlah pandangan dia (Ismail Sabri). Saya pun mampu banding sebulan setengah menteri berkenaan yang bekerja, itu kalau saya bandingkan, saya boleh akui yang dilakukan sekarang lebih bersungguh-sungguh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kenduri Rakyat di kampung halamannya di Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam, Pulau Pinang malam tadi.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Anwar berkata dalam masa singkat sejak beliau dilantik sebagai perdana menteri, kehadiran pelabur antarabangsa dari Eropah, China dan Amerika Syarikat di Malaysia jauh lebih memberangsangkan dari tahun-tahun sebelum ini.

"Alhamdulillah dengan keyakinan ini, ringgit telah mengukuh. Kalau mata wang kita jatuh, ini akan menyebabkan kos import tinggi dan meningkatkan harga barang. Apabila harga barang naik termasuk harga makanan, ini akan membebankan rakyat," katanya.

Sementara itu, perdana menteri berkata Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Feb ini akan menyentuh sektor pendigitalan dan pertanian moden dalam usaha memastikan ekonomi negara kekal mampan.

Anwar berkata beliau juga akan mempertimbangkan peruntukan yang lebih tinggi untuk Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang disifatkan kurang mendapat perhatian sebelum ini.

Walaupun Pulau Pinang merupakan penyumbang cukai terbesar untuk negara, beliau mengakui negeri ini sering dipinggirkan dari segi peruntukan belanjawan persekutuan.

"Itu dalam pertimbangan saya, biarpun ada kekangan dari segi pendapatan dan perbelanjaan tetapi kita akan beri perhatian kerana ada kebenarannya Pulau Pinang dipinggirkan dari sudut peruntukan...tetapi sama juga seperti bila saya ke Sabah dan Sarawak.

Memang ada kekurangan besar kerana peruntukan untuk Pulau Pinang itu kepada infrastruktur besar tetapi Sabah dan Sarawak termasuk prasarana kecil, klinik, hospital, perumahan rakyat dan sekolah daif," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Anwar mengumumkan bahawa Belanjawan 2023 tidak akan terikat dengan belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan terdahulu iaitu pada Okt 2022, namun cadangan yang sudah dibuat dalam pelan belanjawan terdahulu akan tetap diambil kira dalam perangkaan belanjawan yang baru ini.

-Bernama