Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu bengkel SPM: PIBG kata jawapan KPM, pengetua bercanggah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Beberapa ibu bapa yang terlibat dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) sebuah sekolah perempuan di Johor mendakwa terdapat percanggahan antara penjelasan Kementerian Pendidikan dan pengetua sekolah berkenaan berhubung bengkel SPM semalaman yang diadakan pada 19 dan 20 Jan lalu.

Ini selepas timbul dakwaan diskriminasi pada Isnin yang mengatakan bengkel pelajaran di sebuah hotel di Johor Bahru itu dengan sengaja mengecualikan pelajar bukan Islam dari SMK Infant Jesus Convent Johor Bahru.

Kementerian Pendidikan semalam mendakwa bengkel itu sebenarnya dibahagikan kepada dua sesi berasingan bagi mengelak mengganggu calon SPM sekolah itu yang menyambut Tahun Baru Cina, sambil menambah bengkel itu bertujuan untuk semua kaum.

Bagaimanapun, ibu bapa pada satu kenyataan hari ini berkata penjelasan kementerian itu tidak konsisten dengan penjelasan daripada guru besar sekolah berkenaan.

Tangkapan skrin mesej WhatsApp yang dikatakan daripada pengetua yang dikongsi di media sosial pada hari Isnin, memaparkan dia mempertahankan bengkel itu sebagai perlu bagi mengelak 40 pelajar Melayu gagal dalam peperiksaan SPM.

Penjelasan yang dikatakan oleh pengetua berkenaan kepada ibu bapa juga tidak menyebut bengkel kedua untuk pelajar bukan Melayu diadakan, atau bengkel itu akan dibahagikan kepada dua - seperti yang didakwa oleh Kementerian Pendidikan.

"Kami mendapati kenyataan Kementerian Pendidikan yang dikeluarkan semalam - selepas isu bengkel itu menjadi tular - tidak konsisten dengan apa yang diberitahu kepada kami oleh pengetua apabila ditanya mengenainya,” kata PIBG dan KSIB sekolah itu pada satu kenyataan.

“Kedua-dua bengkel fasa satu dan fasa dua ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat PIBG, mahupun kelulusan diminta bagi penggunaan dana untuk mereka.

19 pelajar gagal matapelajaran wajib lulus

“Kami menganggap ini satu pecah amanah yang serius. Sudah semakin jelas bahawa tidak semua ahli PIBG mengetahui maklumat berkenaan dan langkah-langkah ini," tambah mereka.

Secara berasingan, sumber yang mengetahui perkara itu, turut menyatakan dakwaan tidak konsisten oleh Kementerian Pendidikan bahawa akan ada bengkel kedua pada 26 dan 27 Jan bagi mereka yang terlepas sesi pertama.

Sumber itu mengesahkan bahawa sebelum isu tersebut dilaporkan, pihak sekolah sememangnya telah menjadualkan bengkel SPM diadakan pada 26 Jan, dan terbuka kepada semua calon.

Bagaimanapun, selepas kekecohan mengenai bengkel di sebuah hotel khusus untuk pelajar Islam sahaja, sumber itu berkata pihak sekolah tiba-tiba melanjutkan tempoh 26 Jan hingga 27 Jan juga untuk pelajar bukan Melayu "sebagai perkara yang hanya difikirkan kemudian".

“Ini hanya dimaklumkan kepada kumpulan WhatsApp PIBG semalam,” tambah sumber itu.

Kementerian Pendidikan semalam berkata bengkel kedua akan diadakan di hotel yang sama seperti yang pertama.

Sementara itu, sumber berkenaan turut mendedahkan bengkel pertama diadakan selepas 19 pelajar Melayu gagal dalam mata pelajaran Sejarah SPM, yang mana kelulusan diperlukan untuk mendapatkan sijil SPM.

Soalan mengenai sekiranya ada pelajar bukan Melayu juga gagal dalam mana-mana mata pelajaran wajib lulus masih tidak terjawab, kata sumber itu.

Banyak sisi cerita

Isu itu mula tersebar di Twitter pada hari Isnin, dan bengkel itu didakwa diadakan hanya untuk pelajar Islam dan dikatakan hanya meliputi matapelajaran Pengajian Islam.

Bagaimanapun, didakwa bahawa ibu bapa hanya mengetahui kemudian bahawa subjek SPM lain, seperti Kimia dan Matematik Tambahan, turut diliputi dalam bengkel, menyebabkan ibu bapa memberikan maklum balas.

Kementerian dalam kenyataannya semalam tidak menyebut etnik atau agama pelajar yang mengambil bahagian dalam bengkel pada 19 dan 20 Jan, juga tidak mengesahkan atau menafikan kumpulan pelajar ini semuanya beragama Islam.

Kenyataan PIBG dan KSIB malam ini dibuat selepas mesyuarat dengan wakil sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah (JPN) Johor berhubung perkara itu pagi ini.

Sumber itu, yang menghadiri mesyuarat tersebut memberitahu Malaysiakini bahawa seorang pegawai JPN pertama kali bertemu dengan ibu bapa yang tidak berpuas hati untuk mendengar masalah mereka.

Pegawai itu kemudiannya mengadakan sesi meja bulat untuk membawa mereka bersama-sama bagi membincangkan lebih lanjut isu tersebut.

“Pegawai DEO ingin mengetahui isu yang dihadapi ibu bapa berkenaan bengkel tersebut.

“Terdapat banyak sisi cerita, namun punca utamanya bukanlah kerana ibu bapa mahu menjadikannya isu perkauman, tetapi kewujudan bengkel itu tidak dimaklumkan kepada semua pelajar secara sama rata.

"Sekiranya ia terbuka kepada semua orang secara sama rata, saya fikir ia tidak akan menjadi isu," kata sumber itu.

Kesimpulannya, kata sumber itu, pihak sekolah berjanji akan lebih telus dalam perancangan dan kerjasama masa depan.

Kesimpulan ini diulangi dalam kenyataan ibu bapa, PIBG dan KSIB.

Sementara itu, Exco Pendidikan Johor, Norlizah Noh menegaskan tiada diskriminasi terhadap bukan Islam di sekolah itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Norlizah berkata dia telah bertemu sendiri dengan Jabatan Pendidikan Johor, PPD, ahli PIBG, pengetua sekolah serta guru-gurunya awal hari ini untuk mendengar penjelasan mereka.

“Menerusi penjelasan pihak sekolah, selaras dengan kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, program yang dijalankan oleh pihak sekolah tidak mendiskriminasi agama dan etnik pelajar.

“Justeru, saya menyeru semua pihak supaya tidak mengeluarkan pendapat sendiri di media sosial kerana ini boleh mewujudkan suasana tidak harmoni khususnya di negeri Johor,” katanya.

Kes itu mendapat perhatian Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menitahkan tindakan diambil sekiranya dakwaan pengasingan itu benar.

Sultan Ibrahim juga bertitah tindakan perlu diambil jika dakwaan itu palsu.

Ibu bapa SMK Infant Jesus Convent Johor Bahru, PIBG dan KSIB merakamkan ucapan terima kasih kepada Sultan Ibrahim atas sokongannya terhadap keterangkuman dan keadilan.

[Baca berita asal]