Skip to main
Logo Malaysiakini

Pilihan raya PBT bukan keutamaan sekarang - Nga

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Berdasarkan maklum balas, pilihan raya kerajaan tempatan (PBT) semula bukan keutamaan rakyat pada masa ini, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Justeru, katanya, kementeriannya mengutamakan sara hidup rakyat dan isu harian, walaupun menyedari  bahawa "pilihan raya ketiga" - selepas pilihan raya persekutuan dan negeri - adalah sebahagian daripada proses demokrasi.

“Kami faham bahawa pilihan raya kerajaan tempatan adalah cerminan demokrasi. Tetapi kita ada keutamaan.

“Perkara paling penting bagi saya sekarang ialah memulihkan ekonomi. Kita juga perlu memastikan jalan raya tidak berlubang-lubang, lampu jalan terang, tandas bersih dan longkang tidak tersumbat.

"Kerja saya bukan untuk fokus kepada keinginan saya, tetapi berdasarkan apa yang rakyat mahu," kata Nga.

Dia berkata demikian semasa diwawancara dengan media Cina baru-baru ini, yang menyoalnya jika dia bercadang untuk memulihkan pilihan raya majlis tempatan semasa menjadi menteri.

Jelasnya, sebaik sahaja masalah asas rakyat diselesaikan, Pakatan Harapan boleh memperoleh kemenanganmudah apabila tiba masa yang sesuai dan pilihan raya kerajaan tempatan diadakan.

“Terus terang, jika (kita) mahu menghidupkan semula pilihan raya kerajaan tempatan, saya harus memastikan PH boleh menang dengan selesa.

“Bagaimana kita boleh mencapainya? Kuncinya ialah menjaga rakyat dengan baik terlebih dahulu, dan kamu kemudian boleh mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa,” tambah Nga.

Pilihan raya kerajaan tempatan di Malaysia ditangguhkan susulan Pengisytiharan Darurat semasa Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada 1964, atas alasan kebimbangan terhadap ketegangan kaum di negara ini.

Akta Kerajaan Tempatan kemudiannya diluluskan pada tahun 1976, memansuhkan pilihan raya kerajaan tempatan dan, sejak itu sehingga hari ini, pegawai kerajaan tempatan, seperti presiden majlis perbandaran, datuk bandar majlis bandaran dan ahli majlis tempatan, dilantik oleh kerajaan negeri masing-masing.

Pada sekitar tahun 1960-an, kaum Cina merupakan majoriti penduduk di kawasan bandar di Tanah Melayu.

Tetapi dalam bancian 2020, tiga perempat daripada penduduk Malaysia didapati tinggal di bandar, dengan kebanyakan penduduk bandar - lebih 62 peratus - adalah bumiputera.

Walaupun DAP parti pimpinan Nga telah memperjuangkan supaya pilihan raya majlis tempatan diadakan semula dan juga menyenaraikannya dalam manifesto mereka semasa pilihan raya umum ke-12 (PRU12) pada 2008, ia tidak mendapat tempat dalam manifesto Pakatan Harapan pada PRU15 tahun lepas.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang telah berulang kali menentang pilihan raya majlis tempatan diadakan semula dengan mendakwa beberapa bandar didominasi oleh masyarakat Cina, dan alasannya,  mereka akan membenarkan arak dan perjudian kepada orang Islam.

Disember lalu, ketika Nga mula bertugas sebagai menteri, dia juga memberitahu media bahawa memulihkan pilihan raya majlis tempatan tidak akan menjadi tumpuan segera kementeriannya.