ULASAN | Perkauman yang akan menghancurkan Malaysia
Sejak tertubuh kerajaan perpaduan diketuai oleh Pakatan Harapan selepas PRU15 lalu, hampir setiap isu cuba dijadikan isu perkauman oleh pihak pembangkang.
Masalah pemilikan perumahan kos sederhana dan murah Malaysia untuk golongan M40 dan B40, adalah masalah yang berlarutan lama sejak merdeka lagi di Malaysia.
Semasa saya menjadi timbalan menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pelbagai usaha dijalankan termasuk mengadakan kempen pemilikan rumah tetapi masih tidak berjaya sepenuhnya kerana masih ramai golongan M40 dan B40 tidak mampu memiliki rumah.
Walaupun wujud pelbagai syarikat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan bertujuan untuk menghasilkan rumah mampu milik kepada rakyat, namun masalah ini masih tidak dapat diselesaikan kerana harga tanah dan infrastruktur yang tinggi.
Pelbagai model dan kajian perumahan luar negara termasuk di Korea Selatan, negara barat dan Singapura serta negara negara maju lain juga telah lama dikaji.
Antara yang paling sesuai dan praktikal adalah sistem perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura kerana banyak persamaan profil etnik masyarakat, cuaca dan sistem pembinaan yang digunakan.
Sistem Perumahan HDB Singapura adalah antara yang terbaik di seluruh dunia dan diakui oleh banyak negara. HDB juga telah memenangi banyak anugerah utama antarabangsa dan kecemerlangan mereka diakui negara barat dan Jepun.
Apabila Menteri KPKT mengumumkan akan menggunakan kepakaran perunding HDB Singapura bagi membantu KPKT mengatasi masalah perumahan Malaysia, bagai hendak runtuh langit kritikan politik dari PAS dan Bersatu yang menuduh adanya agenda perkauman dan penindasan orang Melayu-Islam.
Soalan pertama saya, apakah usaha mereka bawah dua perdana menteri–Muhyiddin Yasin dan Ismail Sabri–bawah kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini?
Tuduhan melulu, sempit
Tuduhan sempit serta melulu dari PAS dan Bersatu amat berbau perkauman semata-mata untuk meremehkan dan menggagalkan usaha untuk menyelesaikan masalah perumahan mampu milik golongan M40 dan B40 yang sebahagian besarnya adalah orang Melayu.
Mengapakah mereka takut jika kerajaan Pakatan Harapan boleh mengatasi isu ini yang mereka tidak pun mahu memulakan semasa PN memerintah ?
Saya bercakap juga sebagai seorang arkitek yang pernah berkhidmat di KPKT dan pernah kerap tinggal di pangsapuri perumahan HDB Singapura kerana mempunyai saudara di sana.
Lebih daripada 90 peratus orang Melayu Singapura memiliki tempat tinggal sendiri sejak usia yang muda lagi. Reka bentuk unit kediaman pangsapuri moden serta kemudahan infrastruktur HDB Singapura telah banyak memenangi anugerah berprestij antarabangsa.
Antara kemudahan disediakan oleh HDB Singapura di tempat tinggal - pangsapuri termasuklah kemudahan lengkap tempat bersanding serta kenduri kendara dan juga tempat mandi jenazah orang Islam tanpa perlu keluar dari kawasan tempat tinggal mereka.
Kemudahan klinik kesihatan, pendandan rambut, kedai komersial, dewan riadah rekreasi dan pusat kesihatan juga disediakan.
Berapa banyak pangsapuri mampu milik kita disediakan kemudahan penuh bermutu tinggi seperti ini?
Sejak dahulu lagi banyak rombongan ahli majlis kerajaan tempatan melawat projek jauh di negara barat dan Amerika tanpa membawa hasil positif.
Dari HDB Singapura yang terletak hanya di sebelah Johor, banyak perkasa positif boleh kita pelajari kerana persamaan kaum etnik, cuaca dan sistem binaan.
Untuk masyarakat Malaysia menjadi maju kita perlu ahli politik yang lebih matang dan progresif dan bukan yang berfikiran sempit dan berfikiran negatif yang sentiasa mencetuskan sentimen perkauman.
Rakyat Malaysia dari kalangan orang Melayulah sebenarnya yang lebih banyak akan mendapat manfaat jika sistem perumahan HDB ini berjaya dilaksanakan dengan kos lebih murah dengan faktor sosial ekonomi yang positif.
Jangan kerana menteri KPKT bukan Melayu
Sudah sampai masanya kepentingan rakyat golongan kurang berada untuk memiliki tempat tinggal diutamakan.
Janganlah kerana menteri KPKT bukan seorang Melayu dan negara Singapura majoritinya bukan Melayu pihak pembangkang bersangka buruk dan menuduh melulu bukan bukan mengikut emosi perkauman.
Isu perumahan KPKT yang merujuk kepakaran HDB Singapura adalah langkah objektif positif untuk menyelesaikan masalah lama demi kebaikan golongan kurang berada untuk memiliki tempat kediaman mampu milik yang selesa.
Sekian lama kita ke negara Barat, Korea dan Jepun telah dikaji model perumahan tanpa solusi yang ditemui.
Kenapa tidak negara jiran Singapura dengan model terbukti di pentas antarabangsa? Apatah lagi dengan profil masyarakat etnik yang ada banyak persamaan dengan kita?
Janganlah asyik mainkan isu politik perkauman murahan tanpa memikirkan masa depan rakyat yang perlu pembelaan untuk memiliki tempat tinggal mampu milik.
RAJA BAHRIN SHAH ialah Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai