Skip to main
Logo Malaysiakini

Steven Gan letak jawatan ketua pengarang Malaysiakini

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Selepas menerajui sidang editorial Malaysiakini selama 23 tahun, Steven Gan meletakkan jawatan sebagai ketua pengarang laman web berita bebas itu pada akhir bulan ini.

Dia bagaimanapun akan kekal dalam Malaysiakini, mengambil peranan nominal sebagai editor at large.

“Memang menjadi hasrat saya untuk memberi laluan kepada generasi baru apabila mereka sudah bersedia. Masanya sudah tiba,” kata Gan.

“Terdapat ramai lelaki dan wanita yang berkebolehan di Malaysiakini yang saya yakin sepenuhnya akan dapat membawa organisasi ke peringkat seterusnya.

"Selain itu, tubuh dan minda saya memberitahu saya untuk melepaskan diri saya daripada terus memegang teraju."

Gan mengalami sakit mata yang menyukarkan dia untuk melihat skrin komputer dalam tempoh yang lama. Dia merancang untuk membahagikan masanya antara Malaysia dan Thailand, tempat asal isterinya, Prangtip juga seorang wartawan.

Malaysiakini merupakan gagasan pengasas bersama Premesh Chandran dan Gan sebagai perusahaan sosial, perniagaan yang didorong tujuan untuk melayani kebaikan bersama, bukannya usaha mengaut keuntungan semata-mata.

"Kami tidak tahu bahawa bukan sahaja kami mengganggu industri media di Malaysia (ketika itu), kami juga mewujudkan salah satu perusahaan sosial paling berjaya di negara ini," kata Gan.

Dalam masa terdekat, pengasas bersama Malaysiakini merancang untuk memindahkan semua saham mereka kepada dana amanah yang akan meneruskan misi organisasi.

Premesh dan Gan (gambar, atas) melancarkan Malaysiakini pada 1999 dalam usaha untuk mengelak penapisan ketat media negara.

Di bawah kepimpinan kedua-dua tokoh ini, Malaysiakini berkembang daripada laman sesawang lima kakitangan yang kecil kepada organisasi yang mempunyai lebih 100 orang hari ini.

Menurut Laporan Institut Reuters 2022, Malaysiakini mempunyai capaian mingguan hampir separuh (48 peratus) daripada khalayak dalam talian di negara ini, berdasarkan penyelidikan yang dilakukan oleh firma analisis data antarabangsa YouGov.

Ia mempunyai capaian tertinggi di negara ini dan antara yang tertinggi di 46 negara yang dikaji sejak YouGov memulakan tinjauannya di Malaysia lima tahun lalu.

Sejak dua dekad lalu, Malaysiakini telah membuat liputan enam pilihan raya umum, tujuh perdana menteri dan menyaksikan penahanan tiga wartawannya.

Ia diisytiharkan sebagai pengkhianat oleh seorang perdana menteri dan disaman oleh perdana menteri lain. Ia pernah berdepan serangan siber yang melemahkan, dihalau keluar dari sidang akhbar berkali-kali dan diserbu oleh polis sekurang-kurangnya lima kali.

Malaysiakini – media bebas yang pertama dan satu-satunya di negara ini – telah menggabungkan piawaian tertinggi kewartawanan dengan teknologi termaju untuk membawa perubahan politik kepada negara yang berada di kedudukan paling bawah Indeks Kebebasan Akhbar Dunia.

“Kami bermula pada era ketika tiada Facebook, Twitter, Instagram atau TikTok. Teknologi telah mengubah cara kita menggunakan maklumat. Begitu juga landskap politik kita.

“Rakyat Malaysia sejak itu telah menemui kuasa undi. Bagaimanapun, isu-isu yang membelenggu Malaysia masih kekal. Maklumat salah dan palsu dipermudahkan melalui media sosial,” kata Gan.

“Sama seperti di Amerika Syarikat dan bahagian lain di dunia, Malaysia telah terperangkap dalam perang budaya, didorong oleh kepercayaan bahawa negara itu adalah milik sekumpulan orang dan bukannya milik ‘orang lain’ juga.

“Di AS, sebahagian rakyat Amerika berpendapat mereka ‘memiliki’ negara itu. Oleh itu, tidak hairanlah mereka bertarung habis-habisan terhadap pihak yang dilihat menjejaskan ketuanan dan hak kaum mereka.

“Memandangkan politik identiti adalah sesuatu yang sukar untuk meyakinkan pengundi untuk bertukar pihak, Malaysiakini akan berusaha untuk mendekati generasi baru rakyat Malaysia untuk, antara lain, memastikan mereka boleh membuat keputusan bermaklumat di peti undi.”

Malaysiakini telah melalui peralihan kepimpinan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Premesh, 53, meletakkan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif tahun lepas.

Dengan Premesh dan Gan tidak lagi memainkan peranan utama dalam Malaysiakini, syarikat itu kini akan diterajui oleh pemimpin generasi baru.

Pengasas bersama itu bagaimanapun akan terus menganggotai lembaga pengarah Malaysiakini.

Ucapan terakhir

Gan menyampaikan ucapan terakhirnya sebagai ketua pengarang ketika sambutan hari lahirnya yang ke-60 pada penghujung Nov selepas Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai perdana menteri.

"Malaysiakini berada di tangan yang selamat. Kini giliran pemimpin baru (Malaysiakini) dan anda untuk membentuk masa depan Malaysiakini," kata Gan kepada kakitangan Malaysiakini pada perhimpunan akhir tahun syarikat itu.

“Tidak perlu saya katakan Malaysiakini didorong oleh misi yang hebat – untuk menjadikan Malaysia tempat yang lebih baik untuk kita semua dan generasi akan datang. Sesungguhnya, tiada misi yang lebih agung daripada ini.

“Tetapi dalam meneruskan misi ini, kita perlu pastikan hati kita berada di tempat yang betul.

“Ahli falsafah Cina Lao Tzu merumuskan hal ini dengan baik.

“Dia berkata: ‘Pergilah kepada rakyat jelata. Hidup bersama mereka. Belajar daripada mereka. Sayangi mereka. Mulakan dengan apa yang mereka tahu. Bina dengan apa yang mereka ada. Tetapi dengan pemimpin terbaik, apabila kerja dan tugas telah selesai, rakyat jelata akan berkata, 'Kami telah melakukan semua ini sendiri.'”

[Baca berita penuh]