Skip to main
Logo Malaysiakini

Dakwaan Wan Saiful tak berasas, cuba takutkan rakyat - PKR P Pinang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PKR Pulau Pinang menolak kebimbangan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan bahawa kerajaan cuba melemahkan pemilikan harta Melayu dan taburan penduduk melalui rancangan untuk berunding dengan pakar perumahan awam dari Singapura.

Bertentangan dengan hujah Wan Saiful bahawa Pulau Pinang merekodkan pemilikan tanah dan hartanah bumiputera yang lebih rendah berbanding orang Cina, Ketua Penerangan PKR Pulau Pinang Amir Ghazali memetik isu yang lebih besar, pendudukan tanah tanpa pemilik berdaftar.

"Kenyataan beliau dibuat tidak berasas dan cuba menakut-nakutkan rakyat dengan menuduh kerajaan DAP akan menguasai pemilikan hartanah.

"Pada hal ia sama sekali bercanggah dengan kenyataan yang pernah dibangkitkan oleh Datuk Dr. Muhammad Farid Saad merangkap Pengerusi Pertubuhan Pemikir Pulau Pinang yang melaporkan bahawa terdapat puluhan ribu tanah yang tidak didaftarkan pemilikannya berdasarkan Kanun Tanah Negara 1995.

Ketua Penerangan PKR Pulau Pinang Amir Ghazali.

"Masalah lain timbul kerana tanah yang diduduki penduduk belum mempunyai geran tanah yang membuktikan tanah tersebut menjadi hak milik mereka dan mereka pula tidak pernah membayar sebarang cukai tanah kepada pihak kerajaan negeri," katanya pada satu kenyataan.

Difahamkan terdapat 200 buah kampung tradisi di Pulau Pinang, kata Amir dengan sebahagian besarnya masih mengekalkan tradisi kekampungan walaupun berada di tengah-tengah bandar.

"Sebagai contoh Bagan Jermal yang berusia 80 tahun dan wujud sebelum zaman penjajahan Jepun sehingga sekarang masih wujud lagi.

"Jadi tidak timbul isu penduduk orang Melayu dipaksa halau keluar disebabkan adanya projek perumahan yang akan didirikan.

"Malahan kerajaan negeri Pulau Pinang tampil membantu menyelesaikan dengan merujuk kepada dasar penyediaan kawasan penempatan baru," katanya lagi.

Amir menyatakan bahawa model Lembaga Pembangunan Perumahan Singapura (HDB) khususnya bertujuan untuk menyediakan sejumlah besar perumahan awam yang dijual oleh kerajaan, khususnya di kawasan berpenduduk padat, agar harganya kekal lebih rendah daripada pemaju swasta.

Selanjutnya, Amir mengingatkan Wan Saiful bahawa isu itu telah menjadi masalah berterusan sejak Pulau Pinang diterajui oleh Gerakan dari 1990 hingga 2008 - ketika itu sebahagian daripada BN - dan juga ketika era pentadbiran PN apabila Gerakan bersama Bersatu dan PAS.

"Jadi mengapakah sekarang soal pemilikan hartanah di Pulau Pinang hendak dijadikan isu besar dan sengaja mahu menyalahkan Kerajaan negeri di bawah pentadbiran parti DAP," soal Amir.

Kenyataan Wan Saiful itu susulan pendedahan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (gambar, atas) awal minggu ini bahawa kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan kontraktor dari HDB Singapura untuk mengetahui kejayaan program perumahan awam di negara itu.

Pelbagai pemimpin PN dari Bersatu dan PAS juga menuduh Nga mempunyai agenda perkauman untuk menindas masyarakat Melayu-Islam dengan mencontohi rancangan perumahan Singapura.

Menteri itu, yang mengancam tindakan undang-undang terhadap laporan media palsu dan fitnah, juga menafikan dakwaan yang dilaporkan bahawa rancangan untuk berunding dengan pakar Singapura bertujuan menggantikan mereka yang berprestasi rendah dalam kementeriannya sendiri.