TLDM selamatkan nelayan hilang di tengah laut
Seorang lelaki ditemukan selamat pada 1.44 tengah hari semalam setelah bot yang digunakan nelayan itu bersama dua rakannya karam di perairan Karambunai di Kota Kinabalu pagi kelmarin.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah dalam satu kenyataan memberitahu mangsa dikenal pasti sebagai Morris Dulin, 69, ditemukan pihak berkuasa di tengah laut yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sekitar perairan Sepanggar.
“Mangsa telah dijumpai di tengah laut bersama tong gelen dalam keadaan selamat dan mangsa dibawa ke pangkalan untuk mendapatkan rawatan dan bantuan lanjut. Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pukul 1.50 tengah hari tadi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi berkata mangsa ditemukan kapal KD Sundang, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan dibawa ke pangkalan TLDM untuk rawatan serta bantuan lanjut.
Dalam kejadian semalam, PGO menerima panggilan kecemasan pada 6.07 pagi mengenai bot nelayan yang dinaiki tiga lelaki karam dan dua daripada mereka sempat menyelamatkan diri manakala seorang hilang di laut.
Dalam pada itu, Markas Pemerintahan Armada Timur TLDM dalam satu kenyataan memberitahu KD Sundang telah berjaya menemukan mangsa yang dalam keadaan begitu lemah dan tidak berdaya di lokasi 5 batu nautika Barat Tanjung Gaya.
“KD Sundang telah menurunkan bot bagi mengangkat mangsa dan diberi pemeriksaan kesihatan awal sebelum dibawa pulang ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai