Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerusi PRN Kedah: BN, PH tak boleh bersikap 'abang besar' - Mahfuz

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN), masing-masing tidak boleh bersikap sebagai 'abang besar' atau dominan dalam menentukan pembahagian kerusi sekiranya kedua-dua gabungan itu bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah yang akan diadakan tahun ini.

Pengerusi PH Kedah Datuk Mahfuz Omar berkata kedua-dua gabungan politik dalam Kerajaan Perpaduan itu perlu menerima hakikat bahawa tiada parti yang boleh menguasai sepenuhnya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi di Kedah.

“Saya percaya semua harus terbuka bahawa kita terpaksa mengecilkan jumlah kerusi masing-masing, sama ada dari pihak BN mahupun PH, maknanya harus terima hakikat bahawa kita tidak boleh lagi bertanding sebagai 'abang besar' untuk kuasai sepenuhnya kerusi.

“Jadi perlu ada pembahagian dan pengagihan kerusi dan kami dalam PH telah pun melalui proses itu sebelum ini dan itulah yang akan kami laksanakan (dengan BN),” katanya ketika ditemui di Alor Setar hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada pihaknya telah mengadakan rundingan dengan BN Kedah berkaitan kerjasama menghadapi PRN terutama dalam soal pembahagian kerusi yang akan ditandingi.

Mahfuz berkata setakat ini tiada perbincangan rasmi diadakan antara kedua-dua pihak, namun mengakui telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan pemimpin BN lain berhubung perkara itu.

Menurut beliau pihaknya berharap perbincangan rasmi dapat diadakan dengan BN khususnya selepas PH pusat memberi lampu hijau untuk pimpinan PH di peringkat negeri mengadakan rundingan dan persiapan menghadapi PRN.

Ditanya sama ada PH pusat menetapkan sebarang panduan untuk rundingan tersebut dijalankan, Mahfuz berkata ia bergantung kepada kebijaksanaan pemimpin di peringkat negeri kerana setiap negeri mempunyai situasi politik yang berbeza.

Kedah bersama lima negeri lain iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan sebelum ini tidak mengadakan PRN bersekali dengan Pilihan Raya Umum ke-15 pada November tahun lalu.

- Bernama