ULASAN | Permainan geopolitik di balik insiden bakar Quran di Sweden
Sudah lama tidak mendengar perkataan Islamofobia.
Dan Malaysia melalui kenyataan Kementerian Luar mengutuk sekeras-kerasnya tindakan islamofobik Rasmus Paludan, ahli politik Sweden-Denmark yang ekstrim, membakar al-Quran al-Karim di Stockholm, Sweden pada 21 Januari lepas.
Menteri Luar Zambry Abd Kadir berkata sikap Sweden yang tidak menghentikan aktiviti melampau ini, walaupun terdapat bantahan, tidak boleh diterima dan boleh memberi kesan serius terhadap hubungan Sweden dan umat Islam di seluruh dunia.
Bahkan seluruh dunia dan masyarakat Islam antarabangsa mengutuk tindakan melampau ahli politik Sweden itu. Bagaimana dengan negara Barat dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)?
Tetapi kenapakah tindakan pembakaran itu dilakukan di hadapan kedutaan Turkiye.
Ia ada kaitan dengan tindakan Turkiye membatalkan permohonan Sweden dan Finland untuk menjadi ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato). Kedua-dua negara tersebut membuat permohonan menyertai Nato pada Mei 2022.
Alasan pembatalan Turkiye ialah kerana kedua-dua negara membenarkan pertubuhan keganasan Kurdish beroperasi di sana.
Syarat bagi Sweden dan Finland hendak menyertainya ialah mendapat persetujuan 30 negara anggota Nato. Bahkan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menghalang usaha Nato melalui kaedah fast track memasukkan kedua-dua negara tersebut sebagai anggota Nato.
Kedua-dua negara yang bersikap berkecuali dalam isu konflik Rusia-Ukraine menukar haluan ingin menyertai Nato kerana takutkan ancaman Russia. Kedua-dua negara tersebut bersempadan dengan Rusia.
Apa yang Erdogan maksudkan sebagai pertubuhan pengganas ialah Parti Pekerja Kurdish (PKK) – pergerakan pemisah Marxist yang beroperasi sejak tahun 1980-an di kawasan sekitar tenggara Turkiye dan bahagian-bahagian utara Iraq.
Negara pertama cop PKK pengganas
Apa yang menariknya, di samping Amerika, Kanada, Australia dan Kesatuan Eropah, Sweden adalah antara negara pertama yang mengelar PKK sebagai pertubuhan pengganas pada 1984.
Kerajaan Turkiye mendakwa Sweden masih menyokong PKK dan menyediakan perlindungan kepada ahli-ahlinya. Walaupun Sweden menafikannya dengan mengatakan ia menyokong pihak Kurdish lain dan bukan PKK tetapi tiada bukti dan ketelusan yang dikemukakan.
Bahkan Kementerian Luar Sweden enggan mengulas dakwaan Erdogan itu apabila CNBC meminta komen. Walaupun jumlah komuniti Kurdish agak kecil di Finland, tetapi dasar luarnya sama dengan Sweden yang melindungi komuniti Kurdish.
Pada 2021, kerajaan Sweden mengumumkan peningkatan dana kepada kumpulan-kumpulan Kurdish di Syria kepada AS$376 juta menjelang tahun ini. Sweden mengatakan ia mendanai kumpulan Kurdish di Syria dan tiada kaitan dengan PKK bagi tujuan kemanusiaam, perkembangan demokrasi dan persamaan jantina.
Agak pelik kerajaan Sweden mengutuk tindakan melampau tersebut tetapi membenarkan kegiatan dilakukan di hadapan kedutaan Turkiye.
Namun jika diteliti secara mendalam, isu pembakaran al-Quran di hadapan kedutaan Turkiye ini adalah ancaman kepada Turkiye dengan dasar keislamannya, bersandarkan dua perkembangan besar yang berlaku ke atas Ankara.
Al-Quran adalah kitab suci umat Islam dan menjurus terus bukan sahaja kepada dunia Islam khusus keoada Erdogan dan kerajaan Turkiyenya.
Ia bukan tertumpu kepada tindakan kerajaan Sweden, tetapi seolah-olah syarat dukungan kuat menyertai negara anggota Nato dan simbol pembakaran adalah percaturan negara kuasa besar dalam Nato.
Perkembangan pertama, pilihan raya Turkiye pada Mei ini. Majalah Economist keluaran 21-27 Januari 2023 telah membuat laporan khas mengenai Tukiye dan pilihan raya.
Jika majalah ini memberikan tumpuan ia bermakna mereka seolah-olah mahukan berlakunya pertukaran kepimpinan kepresidenan Turkiye.
Calon boneka
Ia boleh berlaku sama ada melalui campur tangan asing secara tidak langsung dan kemunculan calon boneka Barat semasa pilihan raya, yang tentunya pengaruh besar parti sekular Turkiye yang tunduk sepenuhnya kepada AS dan Nato dengan dasar luar Turkiye yang tidak berdaulat tidak seperti sekarang.
Calon popular Barat dan pesaing yang dikemukakan majalah Economist ialah Ekrem Imamoglu yang memenangi pilihan raya datuk bandar Istanbul, mengalahkan pemimpin utama AKP, Binali Yildirim, bekas perdana menteri Tukiye.
Dasar luar Turkiye memang berdaulat cenderung kepada hubungan strategik dengan Rusia.
Laman sesawang The Intercept pula menyatakan ini adalah pilihan raya terakhir bagi Turkiye kerana kemenangan Erdogan akan menjadikan Turkiye sebuah negara autoritarian dan diktator.
Kedua berhubung dengan amanat tahun baharu Erdogan yang mengisytiharkan matlamat utama Ankara pada 2023 – sambutan ulang tahun ke-100 proklamasi Tukiye sebagai sebuah republik yang bagi beliau menjadikan Turkiye sebagai salah sebuah negara kuasa besar dengan kekuatan ekonomi dan tentera.
Kedudukan geopolitik tenaga Turkiye menjadikannya sebagai hub pembekalan tenaga kepada Eropah.
Dengan kedudukan strategik, sebagai negara anggota Nato, Turkiye menjadi sebuah negara yang penting di Timur Tengah dan memandu dasar luar berdaulat sejak berada bawah pemerintahan Erodogan.
Beliau telah mengadakan hubungan baik dengan seteru AS iaitu Rusia dan kerjasama ekonomi dengan China dalam kerangka inisiatif Belt and Road.
Turkiye mengambil kesempatan terhadap kepentingan Eropah terhadap sumber tenaga gas. Sejak era 2000 lagi negara itu melaksanakan beberapa projek penting dalam pembinaan rentas Anatolian dan saluran gas rentas Adriatik melalui sempadannya dengan tidak melalui Rusia.
Bahkan dalam hubungan baiknya dengan Rusia, Turkiye menambahkan laluan gas Blue Stream di dasar Laut Hitam melalui pembinaan saluran TurkStream.
Dengan lain perkataan dasar tenaga yang pragmatik dan bebas serta kedudukan geopolitik tenaga membolehkan pentadbiran Erdogan menjadi Turkiye sebagai kuasa tenaga utama dalam pembekalan gas dari Rusia, Azerbaijan, Timur Tengah, negara rantau Mediterranean dan pada masa depan penyaluran gas dari Asia Tengah ke Eropah.
Inilah yang dimaksudkan Erdogan sebagai kuasa tenaga utama dalam amanat tahun baharu tersebut. Dengan memandang kepada krisis Rusia-Ukraine dan sekatan Kesatuan Eropah (EU) ke atas Rusia.
Turkiye semakin berpengaruh sebagai saluran jaminan tenaga/gas ke benua Eropah.
Inilah bagi saya maksud pembakaran al-Quran di hadapan kedutaan Turkiye.
ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah seorang pesara dan masih berminat mengulas isu dalam dan luar negara.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai