ULASAN | Memang wajar k'jaan terus benarkan telur diimport
ULASAN | Sejak Okt tahun lalu, pasaran negara mengalami kekurangan telur yang kritikal hingga menyebabkan ramai pengguna terjejas. Kekurangan telur menyebabkan banyak kegiatan ekonomi dan masyarakat terganggu.
Justeru ada peruncit yang mengehadkan pembelian telur bagi setiap pengguna.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kekurangan telur berlaku. Antaranya akibat permintaan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) berkurangan secara mendadak, pengeluar telur berskala besar mengurangkan pengeluaran, menutup ladang kecil atau mengeksport hasil mereka ke luar negara.
PKP menyebabkan banyak kekangan dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa. Misalnya aktiviti sosial dan budaya tidak boleh dianjurkan. Ia menyebabkan permintaan telur menurun dengan mendadak.
Lanjutan itu, pengeluar terpaksa membuat keputusan dengan mengecilkan pengeluaran bagi menampung kos operasi masing-masing.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, kos makanan untuk ayam telur sahaja adalah sebanyak 76.2 peratus daripada kos pengeluaran, manakala 15.8 peratus lagi melibatkan utiliti dan gaji serta upah.
Peningkatan harga makanan seperti jagung - yang disebabkan oleh perang Ukraine - dan kos operasi yang tinggi menyebabkan penutupan ladang kecil ditutup. Ia sangat memberi kesan kerana mereka menyumbang kira-kira dua juta telur sehari.
Tampung kerugian dialami
World’s Top Exports menyatakan Malaysia adalah negara pengeksport telur kelima terbesar di dunia dengan nilai sekitar AS$127.4 juta pada 2021.
Disebabkan itu pengeluar lebih cenderung untuk mengeksport telur seperti ke Singapura dan Hong Kong, sama ada untuk terus kekal dalam perniagaan atau mendapatkan pulangan yang lebih lumayan.
Bagi menyelesaikan masalah itu kerajaan telah melakukan inisiatif jangka masa pendek dengan mengimport telur dari India.
Cadangan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak dan mereka mencadangkan agar eksport telur tempatan diberhentikan buat sementara waktu bagi mengatasi krisis dalam negara.
Namun, kerajaan membuat keputusan yang tepat dengan tidak menghalang pengeksportan buat sementara waktu. Hal itu kerana kerajaan bergantung kepada keuntungan eksport untuk memberi subsidi kepada pengeluar telur tempatan bagi menampung kerugian penjualan dalam negara.
Pada masa yang sama kerajaan memberi ruang kepada pengeluar untuk memastikan mereka terus boleh beroperasi, mengimbangi kerugian dan meneruskan perniagaan.
Mungkin ada pihak yang mengatakan langkah diambil Putrajaya adalah semata-mata hendak menjaga kepentingan peniaga, namun perkara ini perlu dilihat dari konteks yang lebih besar.
Sekiranya lebih banyak pengeluar yang tidak beroperasi, pengguna juga yang akan menerima kesannya apabila permintaan terus tinggi dan pada masa sama penawaran tidak mencukupi.
Berbalik kepada cadangan mengimport telur, sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang baru kepada Malaysia. Berdasarkan data The Observatory of Economic Complexity, Malaysia mengimport telur bernilai AS$1.45 juta dari China, Thailand, Belanda, Singapura dan Australia pada 2020.
Memang menjadi kebiasaan buat mana-mana negara pengekspot makanan, mereka juga sedikit sebanyak mengimport barangan berkenaan.
Sebagai contoh Kesatuan Eropah merupakan pengekspot makanan bersih tetapi masih mempunyai sejumlah import makanan yang besar.
Hal ini kerana industri makanan melibatkan rantaian bekalan yang luas dengan pelbagai input di peringkat global termasuk untuk mendapatkan input bagi pengeluaran tempatan.
Dalam kes Malaysia, keperluannya adalah seperti jagung makanan bagi ayam penelur.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu langkah alternatif mengimport telur berjaya mengurangkan masalah di pasaran tempatan.
Mengalami kekurangan sebanyak 118 juta telur pada Okt 2022, ia melonjak kepada 157 juta pada Nov, namun berkurangan hanya sejuta telur pada Dis.
Langkah kerajaan dijangka akan dapat memulihkan masalah kekurangan bekalan telur di Malaysia dalam masa terdekat.
Walaupun kerajaan tidak menetapkan jangka masa tertentu untuk pengimportan dilakukan tetapi sekurang-kurangnya mungkin sehingga separuh pertama tahun ini, atau berlanjutan sehingga setahun sebelum pasaran tempatan kembali pulih.
Mendepani ketidaktentuan kekurangan telur dan keterjaminan makanan secara umum, kerajaan perlu sentiasa terbuka untuk meneruskan alternatif itu sekiranya diperlukan.
Pada masa sama kerajaan tidak wajar meletakkan sekatan atau halangan terhadap telur import mahupun eksport. Hal ini penting bagi mengelakkan kekurangan bekalan telur berulang kembali.
Bagi jangka masa panjang, kerajaan perlu melihat perdagangan sebagai penyelesaian masalah kepada jaminan dan keselamatan makanan.
Konsep berdikari untuk makanan perlu digunakan dalam merangka dasar awam iaitu keupayaan sesebuah negara memastikan ketersediaan makanan melalui pengeluaran domestik dan pengimportan.
Kendatipun Malaysia merupakan antara pengeluar utama telur di dunia tetapi itu tidak bermaksud kita tidak boleh melakukan import sama sekali. Bahkan melibatkan diri dalam perdagangan dunia merupakan salah satu cara untuk menjamin bekalan makanan sentiasa ada.
TARMIZI ANUWAR ialah anggota bersekutu Malaysia di Pusat Pilihan Pengguna.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai