Skip to main
Logo Malaysiakini

Nasib yang dipecat dari Umno lebih baik dari yang digantung - Penganalisis

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Nasib pemimpin yang dipecat daripada Umno lebih baik daripada mereka yang digantung daripada parti itu, kata penganalisis politik.

Menurut Azmi Hassan dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), mereka yang dipecat seperti bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ahli Majlis Tertingginya Noh Omar mempunyai banyak pilihan untuk meneruskan karier politik mereka di luar Umno.

“Mereka yang digantung itu paling kritikal (nasibnya) seperti (bekas ketua penerangan) Shahril Hamdan, terutamanya.

“Digantung tu mereka tak boleh buat apa-apa, tidak boleh menyertai parti lain, tidak boleh aktif dalam politik kerana dalam Malaysia ni untuk aktif dalam politik kita kena berparti.

“Jadi bagi saya nasib Noh Omar dan KJ itu lebih baik berbanding Hishammuddin, Shahril Hamdan dan lain-lain lagi yang digantung,” katanya kepada Malaysiakini.

Azmi mengulas mengenai cabaran yang bakal dihadapi oleh mereka yang dipecat dan digantung daripada Umno seperti yang diumumkan parti itu.

Semalam beberapa bekas pemimpin kanan termasuk Ahli Majlis Tertinggi parti dan lebih 40 anggotanya diambil tindakan kerana didakwa melanggar disiplin parti.

Antara yang menjadi perhatian ialah pemecatan Khairy dan Noh, selain beberapa pimpinan yang digantung selama enam tahun seperti Hishammuddin dan Shahril.

Bagaimanapun Azmi berpendapat peluang Noh untuk meneruskan karier politiknya dalam parti lain lebih cerah berbanding Khairy, jika dilihat daripada aspek sokongan akar umbi Umno kepada mereka sebelum ini.

“Jadi untuk masuk ke parti lain, agak sukar untuk KJ teruskan karier politiknya,” katanya.

Selain Khairy dan Noh, seramai 42 ahli Umno turut dipecat daripada parti itu atas pelbagai kesalahan lain.

Mudahkan pembahagian kerusi

Azmi bagaimanapun menolak kemungkinan akan terdapat tindakan keluar beramai-ramai daripada Umno disebabkan keputusan itu, dengan memberikan contoh tindakan serupa diambil terhadap ahli parlimen Arau Shahidan Kassim sebelum ini.

Malah, katanya mereka yang akan menerima keuntungan daripada keputusan itu adalah mereka yang berpihak kepada Presiden, Ahmad Zahid Hamidi.

Mereka ini katanya bakal menyandang jawatan-jawatan penting dalam pemilihan parti yang dijadualkan bulan depan.

Tambahnya, keputusan “pembersihan parti” atau yang digelar “the purge” itu akan memudahkan Umno untuk pembahagian kerusi bersama PH dalam pilihan raya negeri beberapa bulan lagi, memandangkan presiden parti mempunyai suara yang mutlak untuk membuat keputusan.

“Menjelang PRN, Pakatan Harapan dan Umno akan bekerjasama kerana masing-masing memerlukan antara satu sama lain dan kerjasama paling penting ialah pembahagian kerusi.

"Umno yang lebih kuat akan membolehkan mereka membuat beberapa tuntutan (kerana) ada kelebihan bagi Umno setelah pemecatan ataupun the purge ni berlaku,” katanya.

PRN medan ujian pertama Umno

Sementara itu, pensyarah kanan program Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia Jamaie Hamil turut berpandangan bahawa hala tuju Umno lebih jelas selepas keputusan pembersihan parti itu.

“Senario sekarang ini Umno sudah ada kepimpinan agak jelas walaupun mereka (ada yang) tak berapa setuju dengan presiden, tapi nama-nama seperti (Timbalan Presiden) Mohamad Hasan, juga AMT Umno telahpun disokong dengan kuat dalam PAU (Perhimpunan Agung Umno) baru-baru ini,” katanya yang merujuk keputusan PAU untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti.

Namun dia berkata, PRN di enam negeri akan datang akan menjadi ujian pertama Umno, sama ada strategi “pembersihan parti” ini akan berhasil atau ia akan “memakan diri” seperti ketika PRU15.

“Dengan adanya PRN, ini satu platform pertama, ujian sejauh mana keberhasilan gandingan presiden dan timbalan presiden (Umno) dan keyakinan perwakilan itu terhadap kedua-dua kepimpinan ini untuk terus terajui Umno.

“Dalam PRN ini sudah tentulah ada strategi-strategi dan langkah-langkah yang akan diambil oleh Umno untuk bersama-sama dengan kerajaan perpaduan dalam memenangi pilihan raya di kawasan-kawasan yang mempunyai status quo masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, dia menjangkakan Umno tidak akan sekuat seperti sebelum PRU14 kerana perubahan keadaan politik Malaysia, di mana rakyat kini bersikap lebih terbuka dan tidak lagi taasub terhadap mana-mana parti.

Malah menurutnya, senario itu juga berlaku kepada mana-mana parti lain.