Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO bantah projek tambak laut Melaka

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Parti Sosialis Malaysia dan sekumpulan NGO membantah projek pembinaan pelabuhan laut dalam di pesisir Melaka yang melibatkan penambakan laut seluas 1,190 ekar di daerah Melaka Tengah.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama hampi 30 NGO sebentar tadi, tidak lama selepas Malaysiakini melaporkan perkara itu.

Kumpulan-kumpulan itu bimbang projek melibatkan keluasan hampir 900 padang bola itu memusnahkan alam sekitar.

Ini memandangkan Pesisir pantai Melaka kaya dengan kepelbagaian biodiversiti dan memainkan peranan penting dalam ekosistem dan rangkaian makanan tempatan. 

“Pesisir pantai Melaka juga merupakan salah satu kawasan pendaratan penyu penting, termasuklah untuk penyu spesis Hawksbill yang telah dikategorikan sebagai sangat terancam di dunia,” kata mereka.

Sebuah syarikat pemaju berhasrat membina satu lagi pelabuhan laut dalam di pesisir Melaka, walaupun sudah ada beberapa rancangan pembangunan pelabuhan di selatan semenanjung Malaysia.

Far East (Melaka) Sdn Bhd menghantar laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) pada 21 Disember lalu, berkenaan cadangan pembinaan pelabuhan dan terminal kapal persiaran seluas 1,190 ekar (bersamaan 899 padang bola) di daerah Melaka Tengah.

Pelan tersebut terbahagi kepada dua bahagian - pertama untuk membina "pelabuhan laut dalam pelbagai guna antarabangsa" dekat Alai. Cetak biru laporan EIA menunjukkan sebuah terminal gas dan cecair, jeti kargo dan dermaga kontena akan dibina di pelabuhan itu.

Bahagian kedua adalah untuk membina terminal kapal persiaran antarabangsa seluas 50 ekar (bersamaan 37 padang bola sepak) dekat Pulau Melaka.

Kedua-duanya sebahagian daripada Central Eco Business Park dalam cetak biru Zon Ekonomi Pesisiran Pantai Melaka (M-WEZ).

Pasukan EIA dengan pesimis membangkitkan pelan Far East akan merosakkan alam sekitar, habitat haiwan terancam dan industri perikanan - dengan kehidupan dan pendapatan nelayan terjejas secara kekal.

Sementara itu, kumpulan itu juga juga berhujah, pengalaman lalu menunjukkan bahawa projek-projek tambakan laut di Melaka tidak mampan.

“Berdasarkan visi Malaysia Madani yang dilancarkan oleh perdana menteri baru-baru ini, prinsip kemampanan adalah antara tonggak yang harus diutamakan dalam proses pembangunan negara.

“Maka kami menyeru semua pihak untuk mengkaji semula projek-projek mega dan membatalkan projek tambakan laut seluas 1,190 ekar ini yang tidak mengutamakan kesejahteraan rakyat malah memudaratkan alam sekitar,” kata mereka.

Antara yang menyokong kenyataan itu termasuk Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Gabungan Selamatkan Pesisir Pantai Melaka (SOS Melaka) dan  Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM).