Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan tunduk desakan peneroka haram, kata PN Pahang

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sebarang rundingan dengan peneroka tanah haram, termasuk pekebun durian Musang King di Raub, Pahang tidak perlu diberi pertimbangan, kata Perikatan Nasional (PN) Pahang.

Timbalan Pengerusi PN Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, isu pencerobohan tanah haram di Pahang sudah berlarutan sekian lama dan sepatutnya diselesaikan mengikut proses perundangan di mahkamah.

"Kerajaan negeri tidak perlu takut dengan gesaan dan ugutan pihak tertentu walaupun daripada rakan dalam kerajaan campuran kerana isu ini mencabul kedaulatan negeri dan rakyat secara umum.

"Penceroboh perlu dikenakan tindakan seperti mana dilakukan kepada orang lain dan penyelesaian yang adil hendaklah diusahakan mengikut lunas dan batas undang-undang," katanya dalam satu sidang media di Kuantan, Pahang, petang ini.

Isu membabitkan pekebun durian Musang King kembali mendapat perhatian selepas Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail pada 27 Januari lalu menasihatkan pekebun durian Musang King di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau dan Tranum di dalam daerah Raub mempertimbangkan semula permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Wan Rosdy berkata, sebagai menteri besar bagi Kerajaan Perpaduan BN dan Pakatan Harapan (PH), dia berpandangan bahawa tanah-tanah yang dipertikaikan adalah dengan jelasnya tanah milik kerajaan negeri.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui pada 28 Januari lalu meminta kerajaan Pahang bertimbang rasa terhadap nasib pekebun durian Musang King di Raub yang sudah lama mengusahakan tanah itu berbanding pemberian pajakan kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources-Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (RPDR-PKPP).

Chow turut berkata, semakan kehakiman masih diteruskan bagi menuntut keadilan dan membela hak pekebun selepas tanah diusahakan mereka dipajakkan kepada syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, Rosli yang juga pesuruhjaya PAS Pahang mendakwa kerajaan Pahang kini berada dalam 'tekanan' berikutan penubuhan kerajaan negeri ketika ini turut membabitkan wakil daripada PH.

"Mungkin ada pihak berkepentingan cuba ambil kesempatan susulan penubuhan Majlis Perundingan Kerajaan Campuran Pahang yang turut disertai wakil rakyat DAP.

"Perkara ini (isu pekebun Musang King di Raub) dibangkitkan semula selepas penubuhan majlis berkenaan dan ini adalah sesuatu yang kita bimbang akan memberi 'tekanan' kepada kerajaan Pahang.

"Jadi kita minta kerajaan Pahang supaya tidak tunduk dengan sebarang desakan atau tekanan oleh mana-mana pihak dalam isu ini," katanya lagi.

Mahkamah Tinggi Kuantan pada 23 Disember 2020 menolak kebenaran semakan kehakiman difailkan 204 pekebun Musang King Raub bagi mengenepikan notis pengosongan tanah dikeluarkan kerajaan Pahang pada Ogos 2020.

Sebelum ini, dua notis permohonan semakan kehakiman difailkan di mahkamah sama pada 21 Ogos dan 9 Disember 2020.

Semua 204 pekebun itu memfailkan permohonan dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan Pahang dan RPDR-PKPP.