Skip to main
Logo Malaysiakini

FOTO ESEI | Lumba Lari Underground

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pada malam Khamis 26 Januari lalu, sekumpulan anak muda menghidupkan sebuah aliran gaya hidup yang baru iaitu berlumba lari 100 meter secara ‘haram’.

Lumba Lari Underground diilhamkan setelah penganjur melihat video permainan lumba lari pada waktu malam dari negara jiran, Indonesia dan kemudian ia dimainkan di negeri Sabah sekitar Ogos tahun lalu.

Anak muda sering dikaitkan dengan aktiviti yang tidak sihat terutama pada waktu malam. Jadi inisiatif ini diambil oleh pihak penganjur Cerita & Co untuk mengubah budaya dan pandangan masyarakat.

"Sukakan cabaran dan sesuatu yang nampak jahat itu adalah sifat semulajadi mereka, jadi konsep perlumbaan secara ‘haram’ ini dikekalkan tetapi dimainkan dengan cara yang lebih sihat," kata Pengasas Cerita & Co, Khairul Jamain.

Jarak 100 meter adalah yang pendek dan boleh disertai ramai berbanding acara-acara larian rasmi yang jaraknya biasanya minimum lima kilometer untuk kategori terbuka.

Jurugambar Malaysiakini, Mukhriz Hazim sempat merakam aktiviti itu yang berlangsung di Bangi, Selangor.


Pelumba melakukan regangan dan memanaskan badan di lorong berhampiran deretan kedai di Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Nombor pelari dengan tulisan tangan ditampal bagi memudahkan pengecaman oleh pihak penganjur.


Para peserta mengambil gambar kumpulan sebelum perlumbaan. Kebanyakan mereka adalah daripada komuniti pelari yang aktif menyertai acara larian mahupun pendakian.


Bendera dijatuhkan ke lantai sebagai tanda untuk pelari memecut ke garisan penamat.


Lumba Lari Underground tidak mengenakan peraturan yang ketat ke atas peserta. Berkaki ayam juga dibenarkan jika peserta menganggap ia dapat membantunya berlari lebih laju.


Pengadil menulis ke atas papan markah nombor pelari yang telah menang. Konsep kalah mati dianjurkan untuk menjimatkan masa.


Seorang pelari cedera ringan semasa berlumba namun inilah risiko yang perlu ditanggung sendiri orang muda yang sentiasa dahagakan cabaran.


Fifii Ali meraikan kemenangan setelah menjuarai kategori wanita.


Pemenang tempat ketiga dan kedua membawa pulang pingat manakala tempat pertama turut memperoleh trofi.


Antara cabaran untuk menganjurkan acara ini adalah untuk mendapatkan penaja. Di Indonesia dan Sabah, wang dipertaruhkan ke atas pelari. Untuk mengelakkan unsur judi, penganjur sebolehnya mendapatkan penaja supaya acara ini kekal sihat dan bermoral.

"Saya harap acara ini akan menjadi budaya yang besar dan berkembang ke setiap negeri malah dipertandingkan di lokasi-lokasi ikonik tanah air seperti di Dataran Merdeka kerana anak muda Malaysia amat memerlukan aktiviti malam yang sihat", tambah Khairul.