Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemimpin parti kerajaan berbeza pendapat isu Nurul Izzah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pemimpin parti kerajaan berbeza pendapat berhubung pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri.

Bekas pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail mendakwa tidak timbul isu nepotisme dengan pelantikan tersebut kerana Nurul Izzah mempunyai kelayakan untuk mengisi jawatan berkenaan, apatah lagi tanpa sebarang imbuhan.

Katanya, bukan senang untuk seorang pemimpin menawarkan diri untuk berkhidmat kepada negara secara percuma dalam tempoh kritikal khususnya bagi menyumbang dalam penyediaan Belanjawan 2023.

"Perdana menteri Anwar Ibrahim telah memberitahu banyak kepincangan dilakukan oleh kerajaan terdahulu dan sudah pasti dia memerlukan sokongan seseorang yang diyakini untuk membantunya, khususnya dalam persiapan untuk Belanjawan 2023.

"Tidak timbul soal nepotisme kerana Nurul Izzah ada kelayakan sebagai bekas anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Dia juga tidak akan campur tangan dalam hal berkaitan dasar, sebaliknya hanya sebagai mekanisme semak dan imbang saja," katanya.

Azan Ismail

Menurut Azan, pada pandangannya peranan bekas ahli parlimen Permatang Pauh itu sekada untuk membantu penyediaan belanjawan saja.

Selepas semua urusan berkenaan selesai dan keadaan ekonomi bertambah baik, katanya, ada kemungkinan Nurul Izzah akan berundur dari jawatan tersebut.

"Bagi saya ini satu pengorbanan yang besar, bukan semua orang boleh berkhidmat secara percuma, tetapi dia menawarkan diri.

"Kenapa ahli PAC pembangkang tak tawaran diri untuk berkhidmat secara percuma? Sepatutnya janganlah tahu mengkritik saja," katanya kepada Malaysiakini.

Terlalu awal untuk dinilai

Sebelum ini, Nurul Izzah mendedahkan pelantikannya bagi jawatan itu dalam satu wawancara bersama satu media.

Pendedahan Nurul Izzah itu mengundang pelbagai reaksi serta kritikan baik dipihak pembangkang mahupun wakil rakyat PKR sendiri.

Bagaimanapun, perdana menteri mempertahan pelantikan Nurul Izzah bagi membantu kerajaan termasuk memastikan segala proses pemberian kontrak dan tender dilakukan secara teratur.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, pula berpendapat ketika ini masih terlalu awal untuk mengkritik ataupun menilai pencapaian Nurul Izzah.

Khalid berkata, dia yakin Anwar mempunyai alasan kukuh untuk melantik Nurul Izzah ke jawatan itu bagi membantunya dalam menghadapi cabaran ekonomi.

Katanya, perdana menteri berhak mendapat sokongan ataupun pandangan mana-mana pihak untuk membantunya.

"Sekarang kita beri dia peluang membukti keberkesanan penasihat-penasihat yang dilantik. Kita lihat dan tengok saja dan dalam keadaan tiada kos, tiada sebab (untuk) kita gusar.

Khalid Samad

"Selepas setahun barulah kita boleh komen dan sekiranya tiada apa-apa sumbangan daripada penasihat-penasihat yang dilantik bolehlah kita persoalkan," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun Khalid berkata dia yakin Nurul Izzah lebih berkesan berbanding penasihat-penasihat dan duta bertaraf menteri yang dilantik kerajaan sebelum ini.

Seorang pemimpin Umno yang enggan namanya didedahkan berpendapat, pelantikan Nurul Izzah memberi kesan negatif kepada kepimpinan Anwar.

"Sudah tentu ini bertentangan dengan dasar Anwar yang ingin mewujudkan tadbir urus baik, tiada kroni, mahu mengurangkan ketirisan dalam pengurusan kerajaan.

"Walaupun perdana menteri mempunyai hak, namun ia memberi persepsi tidak baik kepada rakyat," katanya.

Sementera itu, beberapa pemimpin DAP yang dihubungi Malaysiakini enggan mengulas mengenai pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kepada Anwar.