Perspektif: Dilema ikan temenung, persiapan raya dan sekolah
“Tengok harga ikan temenung (kembung) ni boleh termenung kita, dah jadi berkira-kira nak membelinya.”
Keluhan itu penulis dengar ketika sedang membelek ikan di sebuah gerai di pasar pagi di sini, baru-baru ini.
"Dulu ikan inilah paling murah, berbaloi dibeli untuk keluarga anak ramai macam saya ni,” sambung wanita itu selepas menyedari penulis menoleh ke arahnya. Penulis hanya mampu senyum.
Ini baru kisah ikan temenung yang satu ketika dahulu dianggap “ikan rakyat” sepertimana sayur kangkung, menjadi pilihan golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang mempunyai keluarga besar. Bagaimana pula dengan kos lain yang semakin mencengkam hidup?
Senario ini membuatkan penulis yang berada dalam kelompok M40 turut sama termenung. Lebih-lebih lagi apabila mendapat tahu ada rakan sekelas anak penulis belum melunaskan yuran tertentu yang berjumlah sekitar RM50 hingga RM90 seorang, sekalipun sesi persekolahan 2022/2023 sudah di penghujung.
Terdetik di hati penulis barangkali keluarga murid berkenaan benar-benar tidak mampu menjelaskan yuran sekali bayar itu, sekali gus mencetuskan empati penulis terhadap mereka. Sementelah Mac ini ada dua “acara besar” menunggu, iaitu sesi baharu persekolahan dan sambutan Aidilfitri bagi umat Islam.
Raya dan sesi baru sekolah
Bagi pekerja swasta Hasliza Nusi, 40, dia mengutamakan perbelanjaan sekolah berbanding keperluan raya.
"Keperluan sekolah pun saya utamakan hal-hal berkaitan buku, yuran sekolah. Selepas itu barulah diguna untuk beli pakaian serta kasut sekolah. Tetapi, dalam keadaan ekonomi sekarang, saya ambil pendekatan pakai selagi muat, kasut selagi tidak ketat dan haus, pakailah selagi boleh.
“Begitu juga dengan baju sekolah. Untuk persiapan raya, cukup sekadar sehelai baju melayu seorang, " kata ibu kepada tiga cahaya mata lelaki itu kepada Bernama.
Sedar setiap orang mempunyai cara berbeza dalam menguruskan keluarga, wanita itu bagaimanapun berpendapat sebaiknya ahli masyarakat berpegang pada pepatah mengukur baju di badan sendiri.
Pada masa sama, Hasliza yang tergolong dalam kelompok M40, menggesa kerajaan agar turut prihatin akan nasib kumpulan itu yang menurutnya semakin ramai hidup umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
"Kumpulan B40 sudah banyak terima bantuan Jabatan Kebajkan Masyarakat, zakat serta kerajaan. Jadi, sudah tiba masanya tumpuan, bantuan turut disalurkan kepada golongan M40.
“Seperti Bantuan Awal Persekolahan (BAP) untuk murid baru-baru ini yang tidak menetapkan had gaji, mereka yang dalam kalangan M40 sangat berterima kasih kepada kerajaan dan bersyukur kerana diringankan beban," katanya.
Bagi Siti Azielah Wahi, 37, sesi persekolahan dan hari raya sama penting, sekali gus meletakkan ibu kepada empat orang anak itu dalam dilema.
“Akan tetapi saya bersyukur kerana persiapan sekolah tidak memerlukan kos yang banyak memandangkan kerajaan turut beri bantuan kepada setiap murid tahun ini. Selain itu, pakaian, kasut dan beg sekolah anak-anak pun masih elok, dan ini sudahpun menjimatkan perbelanjaan untuk menghadapi sesi baharu sekolah,” katanya yang bekerja dalam sektor swasta.
Belanjawan keluarga
Mengulas hal ini, pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata terpulang kepada sesebuah keluarga dalam menentukan keutamaan di antara sesi persekolahan dan hari raya.
“Namun, saya mengesyorkan setiap keluarga membuat ‘belanjawan keluarga’ dengan semua ahli keluarga, suami isteri dan anak-anak duduk berbincang dan maklumkan perbelanjaan tahun ini.
“Dari situ mereka akan tahu mungkin tahun ini ada belanjawan defisit sebab ada dua keperluan besar. Jika ada defisit, kena rancang untuk tambah pendapatan seperti memotong perbelanjaan tidak perlu dan buat kerja lebih masa," katanya kepada Bernama.
Memahami Aidilfitri adalah perayaan penting bagi umat Islam, beliau berharap ibu bapa tidak begitu boros dan bersikap biar papa asal bergaya.
Sebaiknya kata beliau, ibu bapa boleh manfaatkan tawaran diskaun untuk mengurangkan perbelanjaan serta menukar gaya hidup dengan memilih barangan yang lebih murah namun tetap berkualiti.
Elak tambah hutang
Pandangan beliau disokong oleh rakan sejawatannya daripada fakulti sama, Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin yang berkata kawalan perbelanjaan adalah satu perkara yang patut dilakukan pada masa sekarang, terutamanya oleh mereka yang berpendapatan rendah atau mempunyai keluarga besar.
“Apatah lagi dunia dijangka berdepan kemelesetan ekonomi bermula tahun ini. Kemelesetan ekonomi akan meningkatkan pengangguran kerana ada perniagaan yang terjejas, sekali gus ada pekerja yang akan diberhentikan. Ini akan menyebabkan pendapatan isi rumah yang berkenaan akan berkurangan dan secara langsung menjejaskan kuasa beli keluarga itu,” jelasnya.
Beliau juga berpendapat sekarang bukan tempoh terbaik untuk membuat "hutang baharu” yang tidak bersifat keperluan di samping “bertahan” dengan pekerjaan semasa.
“Selain itu, sebarang usaha mendapatkan pendapatan pasif atau sampingan digalakkan bagi menampung kos semasa yang semakin tinggi," katanya.
Ditanya "kesakitan" kos sara hidup yang turut dirasai golongan M40, Iqmal Hisham berkata kerajaan perlu mainkan peranan bagi memastikan rakyat terus bertahan.
"Sekiranya golongan B40 dan M40 terkesan dengan serius disebabkan kemelesetan yang bakal melanda, inisiatif perlu diambil termasuklah pemberian bantuan bersasar serta pengurangan cukai pendapatan bagi golongan ini agar kuasa membeli mereka masih berada pada paras baik untuk terus berbelanja, terutamanya bagi barang keperluan.
"Selain itu, pihak berkaitan seperti pusat zakat dan wakaf serta pertubuhan bukan kerajaan berkaitan perlu memainkan peranan dalam memastikan kebajikan golongan ini, terutamanya bagi mendapatkan keperluan asas semasa kemelesetan berlaku, terjaga," katanya.
Ditanya mengenai langkah yang boleh diambil oleh masyarakat semasa mengharungi kemelesetan ekonomi, beliau berkata pengguna harus memastikan mereka mempunyai kecairan simpanan tunai yang mencukupi sekurang-kurangnya bersamaan enam bulan pendapatan.
“Selain itu, pengguna turut digalakkan menyimpan dan melabur dalam instrumen kewangan lain seperti simpanan emas, pelaburan risiko rendah seperti Amanah Saham Bumiputera dan Tabung Haji serta pelaburan risiko sederhana seperti unit amanah.
“Jangan sesekali terpedaya dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tidak masuk akal serta mencurigakan," ujarnya.
Mengenai perbelanjaan besar yang bakal dihadapi oleh ibu bapa bulan depan, beliau berpendapat sewajarnya keperluan sekolah diutamakan berbanding hari raya yang menurutnya lebih menjurus kepada perbelanjaan kehendak.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai