Skip to main
Logo Malaysiakini

Sesi sekolah jam 8 pagi? Tiada ketetapan dari KPM 

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kementerian Pendidikan telah mendengar pandangan ibu bapa dan semua pemegang taruh berkaitan cadangan melewatkan sesi persekolahan di semenjanjung kepada lapan lagi.

Bagaimanapun belum ada ketetapan dibuat berkaitan perkara itu.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata isu memulakan kelas pada pukul lapan pagi bukan keutamaan kementerian buat masa ini kerana terdapat lebih banyak isu mendesak.

“Kita mendengar tapi pastinya kita juga nak dengar pandangan daripada ibu bapa dan semua pemegang taruh pendidikan. 

“Pandangan itu kita ambil tapi kita juga harus lihat keseluruhan pandangan. 

“Yang saya pasti, pandangan-pandangan itu kita ambil kira. 

“Cuma hari ini tiada ketetapan yang kita buat berkaitan itu,” katanya selepas melancarkan Seminar Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) 2023 di Hotel Sunway Putra di Kuala Lumpur hari ini. 

Sebelum ini, pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Anuar Ahmad dilaporkan menggesa kerajaan memulakan kelas pada pukul lapan pagi di Semenanjung bagi meringankan beban guru, ibu bapa dan pelajar.

Anuar berkata bahawa kerajaan harus “belas kasihan dan empati kepada guru, ibu bapa dan pelajar yang terpaksa bangun seawal 4.30 pagi".

Untuk rekod, kebanyakan sekolah bermula jam 7.30 pagi.

Komited selesaikan isu penempatan guru

Mengenai permintaan NUTP agar Kementerian Pendidikan memperkenalkan semula jawatan guru pelepasan bagi menampung kekurangan guru, termasuk di Sabah dan Sarawak, Fadhlina berkata ia berpunca daripada kekurangan guru dalam sistem pendidikan.

Justeru, dia berkata kementeriannya komited untuk menangani isu berkaitan penempatan guru di sekolah secepat mungkin.

“Dalam komitmen KPM, saya sudah maklumkan sebelum ini di Sarawak, 50 peratus penempatan guru akan disiapkan sebelum Mac.

“(Ia) sebelum pembukaan sekolah manakala negeri-negeri lain, kita akan uruskan dengan segera,” katanya.

Sementara itu, dia memberi komitmen bahawa kejadian melibatkan sebuah sekolah di Johor yang didakwa mengadakan bengkel SPM hanya untuk pelajar Islam, tidak akan berulang lagi.

Sekiranya kejadian seperti itu berulang, dia berkata kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serius.

“Diskriminasi tidak dibenarkan dalam sistem pendidikan dan kami akan memastikan perkara ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Ditanya jika tindakan akan diambil terhadap sekolah tersebut di Johor, dia menyerahkan perkara itu kepada Jabatan Pelajaran Negeri Johor untuk membuat keputusan.

Sebelum ini, KPM menafikan bahawa bengkel SPM itu bersifat diskriminasi dan menjelaskan ia dibahagikan kepada dua sesi berasingan bagi mengelak mengganggu calon SPM dari SMK Infant Jesus Convent yang menyambut Tahun Baru Cina.

Bengkel itu mencetuskan kekecohan di media sosial selepas didakwa pelajar bukan Islam di sekolah perempuan itu sengaja diketepikan daripada program itu.

Namun, KPM dalam kenyataan sebagai respons kepada perkara itu berkata bengkel tersebut diadakan untuk semua kaum.