Skip to main
Logo Malaysiakini

Speaker: Lantik anak yang layak bukan nepotisme

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul berkata dia akan mempertimbangkan pelantikan anaknya, Mohammed Iqbal sebagai pegawai tugas-tugas khasnya.

Jelasnya, pelantikan itu bukan nepotisme kerana anaknya itu memang layak untuk memegang jawatan berkenaan.

Johari, yang dilantik sebagai speaker parlimen pada 19 Dis, mengulangi setakat ini tiada pelantikan rasmi Mohammed Iqbal untuk jawatan itu.

Katanya, Mohammed Iqbal telah berkhidmat sebagai pegawai khasnya sejak 2009 selain memiliki Ijazah Sarjana Muda Kewangan di Universiti Multimedia (MMU) Melaka.

Dah kerja 14 tahun

"Nepotisme ini kalau dia kurang, tidak berkelayakan atau dia hanya ada diploma tapi dia diletakkan dalam jawatan yang perlu mempunyai ijazah sarjana muda.

"Atau baru keluar universiti semalam tapi letakkan dia di jawatan yang memerlukan pengalaman 10 tahun ataupun dia ini tak boleh pakai langsung di mana saya boleh ambil orang lain.

"Tapi Iqbal sudah kerja 14 tahun dengan saya dan dia hanya meneruskan kerjanya di mana nak latih orang baru tidak mudah, ...soalnya orang itu, kita percaya ...baik saya teruskan dengan dia," katanya seperti dipetik laporan BH Online.

Jelas Johari, elaun perkhidmatan Iqbal dibayar oleh dirinyya sendiri.

"Dia meneruskan kerja yang dibuat selama ini yang bukan benda baru, bukan lantikan rasmi, kerajaan tidak bayar (gaji) saya bayar sendiri...

"Di sini saya ada setiausaha sulit kanan yang jawatannya sudah diisi, aetiausaha akhbar dan tiga pegawai tugas-tugas khas di mana orangnya saya sudah kenal pasti, ...sekarang sedang dalam proses permohonan.

"Prosesnya panjang melalui SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) dan (Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) jadi ambil masa. Kalau saya rasa dia layak dan sesuai, saya akan buat permohonan, buat masa ini dia ditempatkan di sini sebab saya ada di sini," katanya lagi.

Semalam, Malaysiakini melaporkan dunia maya dikecohkan dengan dakwaan Johari melantik anak lelakinya menjadi salah seorang pegawai di pejabat parlimen.

Antara individu yang awal membuat dakwaan tersebut ialah ahli Bersatu, Badrul Hisham Shaharin, melalui ciapan di Twitter pagi semalam, dan mempersoalkan tindakan Johari.

Badrul Hisham mendakwa nama penuh anak Johari, Mohammed Iqbal, telah dipinda dalam direktori kakitangan parlimen dengan nama bapanya dipadamkan.