Skip to main
Logo Malaysiakini

Kedah negeri terbaru dilanda banjir

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kedah menjadi negeri terbaru dilanda banjir dengan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Relau dekat Bandar Baharu susulan hujan lebat lebih dua jam bermula kira-kira 3 petang tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu Left (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata 14 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Relau, pada 7 malam tadi.

“Hujan lebat telah menyebabkan beberapa kawasan di Mukim Relau dinaiki air hingga menyebabkan berlakunya banjir kilat. Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah melakukan pemantauan paras air sungai dan mendapati beberapa jalan perhubungan di Mukim Relau turut terputus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa di PPS turun sedikit kepada 846 orang setakat 8 malam ini berbanding 897 orang pada 2 petang tadi.

Daerah Batu Pahat yang mengalami banjir termenung merekodkan jumlah mangsa seramai 820 orang yang ditempatkan di lima PPS, manakala 26 mangsa ditempatkan di sebuah PPS di Segamat.

Di SARAWAK, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di kawasan Serian meningkat kepada 180 orang malam ini berbanding 97 orang petang tadi dan ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan St Peter serta Dewan Kampung Mundai.

Di SABAH, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir malam ini turun kepada 285 orang daripada 81 keluarga dan berada di tiga PPS berbanding 535 orang daripada 165 keluarga di sembilan PPS pagi tadi.

Kesemua PPS di Beluran telah ditutup pada 7 malam tadi manakala di Telupid sebuah PPS turut ditutup pada 2 petang.

- Bernama