Skip to main
Logo Malaysiakini

MB S'gor sahkan firma China bersih tanah hutan negeri tanpa kelulusan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengesahkan bahawa sebuah syarikat pembinaan China bertanggungjawab terhadap pembersihan tanah yang dilaporkan berlaku di dalam Taman Negeri Selangor.

Dia dipetik Malay Mail berkata syarikat pembinaan China itu telah memperoleh permit untuk membersihkan tanah yang diperuntukkan untuk jalan sepanjang 2.3km yang dibina bagi "kemudahan masuk" tetapi telah memulakan pembinaan "tanpa kelulusan."

Kata Amiruddin, terdapat permit jalan dikeluarkan (nombor permit: BU-PJ-3-22) kepada firma tersebut bagi tujuan pembinaan jalan ke arah kemudahan kemasukan adit bagi projek ECRL sepanjang 2.3 km (1.8 hektar).

Syarikat China itu telah memulakan kerja tanpa kelulusan dan tindakan penguatkuasaan telah diambil pada Disember 2022, katanya.

Katanya, pihak berkuasa kini sedang menyiasat perkara itu selepas laporan polis dibuat pada Disember lalu.

Projek Pendedahan Rimba, sebuah badan pemerhati alam sekitar menuding jari kepada aktiviti sebuah syarikat China di Taman Negeri Selangor yang dilindungi, mengatakan ia telah menemui melalui imejan satelit aktiviti yang boleh dipersoalkan yang kelihatan seperti pembersihan tanah.

Ia kemudian menjalankan siasatan lapangan di sekitar lokasi dan mendapati notis kerja pembinaan telah didirikan, menunjukkan jalan sedang dibina untuk jajaran ECRL Gombak-Pelabuhan Klang.

Tiada laporan EIA

Parti Hijau Malaysia pada satu kenyataan berkata pihaknya kesal dengan sikap kerajaan persekutuan yang membenarkan pembersihan bahagian Hutan Simpan Hulu Gombak dan Hutan Simpan Serendah untuk laluan kereta api ECRL tanpa mendapat kelulusan laporan EIA terlebih dahulu daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Laporan yang kami terima daripada Projek Pendedahan Rimba (RDP) berdasarkan paparan imej satelit jelas menunjukkan sekurang-kurangnya empat lokasi di dua hutan simpan itu telah dibersihkan baru-baru ini.

“Semakan portal laman web JAS menunjukkan bahawa pemilik projek, Malaysia Rail Link Sdn Bhd, belum menyerahkan laporan EIA kepada JAS,” kata Setiausaha Agung Parti Hijau Abdul Razak Ismail (gambar, bawah).

Dia berkata Parti Hijau sedar bahawa pembersihan itu adalah "laluan kecemasan" projek kerajaan persekutuan seperti yang tertera pada papan tanda projek, tetapi ia harus mematuhi sepenuhnya undang-undang seperti mendapatkan kelulusan EIA sebelum projek itu dilaksanakan.

Katanya, Parti Hijau telah dimaklumkan bahawa kawasan dalam perkampungan Orang Asli di Batu 17, Jalan Gombak turut dibersihkan untuk digunakan sebagai pejabat tapak.

“Perlu diingat, walaupun projek ini adalah projek kerajaan persekutuan, ia juga terikat dengan Enakmen Perhutanan Negeri Selangor di mana pihak berkenaan perlu mematuhi moratorium pembalakan selama 25 tahun yang diluluskan di DUN Selangor pada 2010 apabila MB Selangor Allahyarham Khalid Ibrahim untuk melindungi hutan simpan di negeri Selangor.

“Disebabkan itu, Parti Hijau menyeru Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Nik Nazmi Nik Ahmad) untuk memantau perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik projek,” katanya.

[Baca berita asal]