Skip to main
Logo Malaysiakini

Penduduk Kg Sg Baru serah memo pada PM, gesa projek tak ditangguh

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lebih 260 penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di Kuala Lumpur, yang terlibat dengan projek pembangunan semula kawasan tersebut, memohon Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk tidak memberi penangguhan, sebaliknya meneruskan projek tersebut dengan segera.

Wakil penduduk Mohd Adam Abdul Aziz berkata permohonan itu susulan laporan media yang memaklumkan penangguhan selama sebulan lagi atau sehingga suatu tarikh tertentu dibuat, supaya rundingan antara penduduk dan pihak berkepentingan dapat dibuat untuk menyelesaikan isu berbangkit.

"Kami telah menunggu pembangunan ini selama lebih enam tahun. Proses pengambilan tanah adalah kaedah terakhir bagi merealisasikan hasrat kami yang telah bersetuju untuk memiliki rumah yang lebih selesa dan baik sekali gus menaik taraf kehidupan kami," katanya pada sesi penyerahan memorandum hari ini.

Memorandum bagi menggesa tindakan tersebut diserahkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin di kawasan kampung tersebut hari ini.

Sementara itu, Azman berkata memorandum tersebut akan diserahkan kepada perdana menteri dalam masa terdekat untuk diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat.

Perancangan pembangunan semula Kampung Sungai Baru bermula sejak 2016 dan mendapat persetujuan majoriti penduduk iaitu lebih 260 penduduk namun belum dapat diteruskan kerana mendapat tentangan 37 penduduk yang tidak bersetuju.

-Bernama