Skip to main
Logo Malaysiakini

Exco Selangor pertahan pelaksanaan projek ECRL di Taman Negeri

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian mempertahankan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Taman Negeri Selangor.

Ia selepas Menteri Besar Amirudin Shari berkata syarikat pemaju, China Communications Construction Company (CCCC) bertanggungjawab terhadap pembersihan tanah yang dilaporkan berlaku di kwasan itu.

Menurut Malay Mail semalam, AMirudin berkata syarikat itu telah memperoleh permit untuk membersihkan tanah yang diperuntukkan untuk jalan sepanjang 2.3km yang dibina bagi "kemudahan masuk" tetapi telah memulakan pembinaan "tanpa kelulusan."

Dalam kenyataannya hari ini, Hee berkata pembinaan projek ECRL di taman negeri setakat ini sentiasa dikawal agar mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan.

"Kerajaan negeri berpendirian projek ECRL ini wajar untuk dilaksanakan memandangkan ia menyumbang kepada kepentingan kesejahteraan masyarakat, selain menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.

"Pelaksanaan projek ECRL di Selangor telah disyaratkan untuk mematuhi segala peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh agensi-agensi teknikal berkaitan," katanya.

Dia berkata pemilik projek, Malaysia Rail Link Sdn Bhd sudah mendapat kelulusan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi Seksyen C2 (Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang).

"Manakala Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah mengeluarkan kebenaran melalui Permit Penggunaan untuk pelaksanaan projek ECRL ini di kawasan hutan simpan kekal pada Julai 2022," katanya lagi.

Sebelum ini, Projek Pendedahan Rimba, sebuah badan pemerhati alam sekitar menuding jari kepada aktiviti sebuah syarikat China di Taman Negeri Selangor yang dilindungi, mengatakan ia telah menemui melalui imejan satelit aktiviti yang boleh dipersoalkan yang kelihatan seperti pembersihan tanah.

Ia kemudian menjalankan siasatan lapangan di sekitar lokasi dan mendapati notis kerja pembinaan telah didirikan, menunjukkan jalan sedang dibina untuk jajaran ECRL Gombak-Pelabuhan Klang.

Kesal sikap kerajaan

Sementara itu, Parti Hijau Malaysia menyuarakan rasa kesal dengan sikap kerajaan persekutuan yng membenarkan pembersihan tanah di kawasan Hutan Simpan Hulu Gombak dan Hutan Simpan Serendah untuk jajaran kereta api ECRL, tanpa terlebih dulu mendapatkan kelulusan bagi EIA daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Laporan yang kami terima dari Projek Pendedahan Rimba berdasarkan imejan satelit jelas menunjukkan sekurang-kurangnya empat kawasan di dua hutan simpan telah dibersihkan baru-baru ini.

Abdul Razak Ismail

"Penilaian di laman web JAS menunjukkan Malaysia Rail Link Sdn Bhd tidak menghantar laporan EIA kepada JAS," kata setiausaha agungnya Abdul Razak Ismail.

Katanya lagi, sementara Parti Hijau sedar bahawa pembersihan ekoran "laluan kecemasan" projek itu seperti yang dipaparkan pada papan tanda projek, ia sepatutnya dilakukan dengan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang, seperti mendapatkan kelulusan EIA sebelum ia dilaksanakan.