Anwar lantik Izzah sebab ada kemampuan 'teramat hebat' - Faizal Azumu
Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu dalam nada menyindir meminta semua pihak berlapang dada dan memberi peluang kepada Nurul Izzah Anwar membuktikan kemampuannya dalam memikul tanggungjawab sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada bapanya Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
"Semua perkara yang rakyat hendak akan selesai.
"Kerana tidak mungkin seorang yang dilantik menjadi perdana menteri melantik anaknya sendiri (sebagai penasihat) kalau anaknya itu tidak ada kemampuan yang teramat hebat.
"(Jadi) kita kena bagi beliau peluang menasihati perdana menteri dan menteri kewangan (maka) akan selesai semua masalah kita," katanya, lapor Astro Awani.
Sebelum ini, Nurul Izzah mendedahkan pelantikannya bagi jawatan itu dalam satu wawancara bersama satu media.
Pendedahan Nurul Izzah itu mengundang pelbagai reaksi serta kritikan baik dipihak pembangkang mahupun wakil rakyat PKR sendiri.
Bagaimanapun, perdana menteri mempertahan pelantikan Nurul Izzah bagi membantu kerajaan termasuk memastikan segala proses pemberian kontrak dan tender dilakukan secara teratur.
Anwar juga mempertahankan kelayakan anak sulungnya itu, bekas ahli parlimen Permatang Pauh yang tewas pada PRU15 lalu.
Anwar berkata, selain memegang ijazah sarjana muda kejuruteraan, Nurul Izzah juga memiliki ijazah sarjana dasar awam dari Johns Hopkins School of Advanced International Studies.
Setiausaha politik Nurul Izzah, Amir H Ghazali pula berkata tidak timbul dakwaan kronisme ataupun nepotisme kerana lantikan itu dibuat “demi kepentingan negara”.
Malah, katanya, Nurul Izzah tidak sebarang kuasa untuk meluluskan projek dan tender kerajaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai