'Perbualan tengah malam dengan Jho Low bukan untuk kepentingan kami'
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu perbualan lewat malam melalui BlackBerry Messenger (BBM) antara bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) bukan untuk kepentingan mereka berdua.
Perkara itu dinyatakan Yu yang merupakan saksi pendakwaan ke-41 semasa perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, hari ini.
Dia berkata perbualan itu, yang berlaku dari 12.41 pagi hingga sekitar 11 pagi 21 Ogos 2014 - adalah mengenai mengatur pemindahan RM5 juta daripada akaun Najib kepada Umno.
Dia menyatakan perkara itu semasa pemeriksaan semula dengan timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib.
Yu: Dia (Low) maklumkan pada saya sekitar 12.41 tengah malam ada cek RM5 juta kepada Umno dan perlu uruskannya. Saya baca mesej itu sekitar jam 1.06 pagi dan saya jawab okey dan akan cuba sediakan cek RM5 juta itu.
Akram: Perbualan mengenai wang yang akan dibayar kepada Umno?
Yu: Ya.
Akram: Untuk kepentingan siapa?
Yu: Umno.
Akram: Perbualan itu bukan untuk kepentingan anda dan Low, sebaliknya untuk Umno?
Yu: Ya.
Semasa pemeriksaan semula, Yu turut memberi keterangan bahawa dia kerap bertemu Low di apartmen ahli perniagaan itu di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, atas tujuan kerja melibatkan perkara berkaitan 1MDB.
Sebelum itu, semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, Yu menolak dakwaan terlibat dalam hubungan sulit dengan ahli perniagaan itu.
Shafee menyoalnya bertubi-tubi berkenaan jika mereka turut bertemu di luar urusan kerja. Yu bagaimanapun sebelum ini memberi keterangan bahawa dia sudah berkahwin.
Ia menyebabkan timbalan pendakwa raya Deepa Nair membantah soalan yang dikemukakan Shafee, dengan menyifatkannya sebagai tidak sesuai.
Apabila hakim Collin Lawrence Sequerah bertanya apa tujuan pasukan pembelaan bertanya soalan sedemikian, Shafee menjawab mereka ingin menunjukkan hubungan antara Yu dan Low adalah tidak sesuai.
“Ya, Yang Arif. Semua orang yang ada hubungan sulit juga kata yang mereka ada mesyuarat (meeting). Jadi saya ingin tahu sama ada ia adalah urusan kerja atau lebih daripada itu,” kata Shafee.
Sequerah kemudian membenarkan pemeriksaan balas dengan syarat ia tidak melangkaui lebih daripada itu.
Yu kemudian menjawab bahawa pertemuannya dengan Low adalah berkaitan kerja dan wajar kerana mereka tidak berdua, sebaliknya ia sentiasa disertai orang lain antaranya CEO 1MDB ketika itu, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Bekas pegawai bank itu juga berkata pemegang mandat akaun Najib, iaitu ketua pegawai pelaburan 1MDB ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil, menggelarkan Low sebagai “bos.”
Dia seterusnya menafikan dakwaan Shafee bahawa perbualan tengah malam antara dia dan Low pada 21 Ogos 2014 itu menunjukkan terdapat hubungan yang tidak sepatutnya antara mereka berdua.
Yu ketika memberi keterangan dalam prosiding sebelum ini berkata dia sentiasa berkomunikasi dengan Low berhubung pengurusan akaun Najib.
Perbicaraan disambung petang ini, dengan Akram dijangka meneruskan pemeriksaan semula ke atas Yu.
Yu berada di kandang saksi selama 12 hari (termasuk hari ini) sejak 13 Okt tahun lepas, dengan sepuluh hari digunakan untuk pemeriksaan balas dengan pasukan pembelaan.
Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion wang 1MDB.
Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, dia dituduh melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Pihak pendakwaan berhujah bahawa kesalahan di 1MDB telah dilakukan oleh Low dan beberapa yang lain, dengan restu Najib.
Bagaimanapun, pasukan pembelaan mendakwa Najib tidak mengetahui jenayah yang dilakukan pada 1MDB dan Low, serta ahli pengurusan dana lain, yang menjadi dalang penyelewengan.
Pihak berkuasa masih cuba menjejaki Low dan Nik Faisal, iaitu antara beberapa individu yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai