Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Mengenang pengorbanan Saidina Hasan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sejarah politik Islam menyaksikan kebangkitan pemerintahan yang disanjung tinggi sehingga berlakunya peristiwa kejatuhan yang ditangisi oleh seluruh umat. 

Bangkit dan jatuh pemerintahan Islam yang  dinukilkan dalam lembaran kitab sejarah memberi seribu satu pengajaran dan peringatan kepada kita tentang kehebatan pemimpin terdahulu dalam melaksanakan tanggungjawab.

Saya agak tertarik untuk berkongsi satu sirah berkenaan peralihan kuasa dan sikap toleransi yang dizahirkan oleh anak Khulafa ar-Rasyidin ke-empat iaitu Khalifah Ali bin Abu Talib serta cucu pertama baginda Rasulullah SAW iaitu Saidina Hasan RA yang menyerahkan kuasa kekhalifahan kepada Muawiyah bin Abu Sufyan secara perdamaian. 

Sikap toleransi dan cinta akan perdamaian ini harus diterapkan dalam jiwa ahli-ahli politik yang mementingkan kuasa terutama sekali semasa pasca pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Saidina Hasan RA diangkat sebagai khalifah kelima dan dibaiah di Kufah setelah kewafatan dan kejatuhan bapanya pada 21 Ramadan 661M. 

Semasa berlakunya pertempuran antara Saidina Hasan RA dan Muawiyah, beliau diserang di Al Madain oleh tenteranya sendiri yang belot selepas menerima sogokan wang daripada puak Muawiyah. 

Bagi mengelakkan berlakunya lebih banyak pertumpahan darah dan perang yang berpanjangan, Saidina Hasan RA telah mengutuskan surat perdamaian kepada Muawiyah serta menyatakan hasrat beliau untuk menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. 

Tiga perkara yang ditawarkan oleh Muawiyah kepada Saidina Hasan RA iaitu menyerahkan semula kedudukan khalifah kepada Saidina Hasan RA, membayar satu juta dirham kepada Saidina Hasan RA dan memberi dua wilayah parsi kepada Saidina Hasan RA serta memberi jaminan keselamatan daripada sebarang ancaman bahaya.

Saidina Hasan RA bersetuju dengan tambahan syarat bahawa Muawiyah berjanji akan memberi jaminan keselamatan kepada semua orang, maka dia akan berbaiah. Perjanjian damai Am Al Jamaah ini ditandatangani pada Rabiul Awal 41H dengan syarat bahawa pemerintahan wajib berpegang kepada kitabullah, sunnah Rasul dan dasar politik khalifah serta pelantikan khalifah seterusnya perlu melalui musyawarah. 

Sikap toleransi dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin yang dianjurkan oleh Saidina Hasan RA dalam mempertahankan keharmonian dan kemakmuran sesama umat Islam harus diteladani oleh setiap sosok pemimpin Islam. 

Namun, sekiranya seseorang pemimpin itu hanya mementingkan kuasa dan kedudukan, maka kebajikan rakyat akan terganggu gugat dan menimbulkan keretakan dalam ekonomi sesebuah negara.

Kita boleh saksikan perkara ini berlaku di negara kita sendiri apabila perebutan kuasa dan kemelut politik antara parti-parti politik selepas PRU15. 

Keputusan yang menyaksikan bahawa tidak ada mana-mana gabungan parti politik yang berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk sebuah kerajaan. 

Maka berlakulah tawar-menawar dan sebagainya untuk mencapai majoriti mudah sebanyak 112 kerusi parlimen. 

Pada 20 November 2022, Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Anwar Ibrahim mendakwa mendapat majoriti dan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin juga mendakwa bahawa telah menghantar SD seramai 112 ahli kepada Yang Di-Pertuan Agong (YDPA). 

Kekosongan kuasa ini berpanjangan selama beberapa hari bagi memastikan kerajaan yang terbentuk stabil dan mempunyai majoriti yang secukupnya seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Atas kebijaksanaan yang di-Pertuan Agong, baginda memanggil ketua-ketua gabungan parti politik pada 22 November dan menitahkan supaya tertubuhnya kerajaan perpaduan.

Namun, cadangan ini ditolak oleh PN kerana tidak mahu bekerjasama dengan PH. 

Persidangan Majlis Raja-Raja (MRR) diadakan bagi menamatkan kemelut politik dan UMNO yang dipimpin oleh Ahmad Zahid Hamidi bersetuju untuk bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama beberapa parti seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Warisan Sabah.

Maka kemelut politik pasca-PRU15 berakhir dengan menyaksikan bahawa Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10. 

Sikap toleransi parti-parti politik yang membentuk kerajaan perpaduan yang ada pada hari ini sewajarnya dipuji. 

Walaupun mereka telah berkelahi dalam tempoh masa yang lama tetapi mereka berjaya membuang ego dan kemarahan lampau demi menghormati titah Agong untuk membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil demi membangunkan negara dan menjaga kebajikan rakyat. 


MUHAMMAD AZHA SALAHUDIN ialah seorang aktivis NGO.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.