Lepas dikecam, bekas CEO 1MDB digugur dari persidangan k'jaan
Satu poster berkenaan persidangan kenderaan elektrik (EV) mengundang perhatian apabila ia menampilkan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi sebagai salah seorang moderator.
Bagaimanapun Malaysiakini difahamkan bahawa penglibatan Shahrol telah dibatalkan.
Malaysiakini difahamkan Shahrol, yang kini menjadi presiden dan pengasas bersama Kelab Pemilik EV Malaysia, telah digantikan dengan Timbalan Ketua Pengarah Malaysia Productivity Corporation Mazrina Mohamed Ibramsah.
Dalam poster yang dilihat Malaysiakini, persidangan ‘Gearing Up for EV Revolution’ akan dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pula dinyatakan pada poster itu sebagai tetamu jemputan.
Dalam responsnya kepada Malaysiakini, Nik Nazmi berkata dia telah memaklumkan kepada pengajur bahawa dia hanya akan hadir jika jemputan terhadap Shahrol dibatalkan.
"Saya hanya tetamu. Setelah dapat tahu tentang kehadiran Shahrol, saya maklumkan kehadiran saya dengan syarat jemputan Shahrol dibatalkan.
"Ketika poster dimajukan (kepada saya), saya segera beritahu mereka," katanya.
Sementara itu, Shahrol memberitahu Malaysiakini dia menghormati keputusan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan akan terus menyokong penggunaan EV.
“Itulah keadaannya, dan saya memahami sentimen dan menghormati permintaan penganjur.
"Saya akan terus menyokong pengguna EV kerana adalah munasabah untuk bergerak ke arah pilihan tenaga yang lebih lestari" katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Zafrul untuk mendapatkan respons.
Terdahulu, poster yang disebarkan di media sosial itu mengundang kecaman ramai, dengan ada yang mengecam Mida kerana mengundang individu yang didakwa bertanggungjawab terhadap kelemahan yang berlaku dalam 1MDB.
Seorang pengguna Twitter pula mempersoalkan sama ada agensi kerajaan itu memiliki kod etika atau tidak, manakala pengguna lain mempersoalkan Mida kerana menyokong individu yang terlibat dalam skandal 1MDB.
Pada Mei 2021, 1MDB dan subsidiarinnya SRC International memfailkan saman sivil berjumlah AS$23 bilion (RM94.4 bilion) terhadap sejumlah pihak yang didakwa menipu syarikat itu.
Antara yang disaman adalah bekas perdana menteri Najib Razak, Shahrol dan seorang lagi bekas CEO Arul Kanda Kandasamy, serta keluarga ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.
Namun, dua bulan kemudian, SRC International menarik balik tindakan sivil itu terhadap Shahrol.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai