Skip to main
Logo Malaysiakini

Petisyen parlimen Gua Musang: Mahkamah benarkan permohonan batal petisyen reposden kedua, ketiga

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Mahkamah Pilihan Raya, di Kota Bharu, hari ini membenarkan permohonan pempetisyen yang juga wakil kepada calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah untuk membatalkan petisyen terhadap responden kedua dan ketiga.

Pengundi bagi parlimen itu, Mohd Azmi Mahmood selaku wakil kepada calon Tengku Razaleigh telah mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Gua Musang.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Roslan Abu Bakar yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mewakili responden pertama yang juga Ahli Parlimen Gua Musang Datuk Mohd Azizi Abu Naim manakala Peguam Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili responden kedua Pegawai Pengurus Pilihan Raya Ab Fatah Hasbullah dan responden ketiga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Mohd Azmi.

Mohd Hafarizam berkata, pihak pempetisyen tidak mahu meneruskan petisyen terhadap responden kedua dan ketiga dengan menawarkan kos sebanyak RM5,000.

Ahmad Hanir pula memohon kos untuk membatalkan petisyen itu sebanyak RM10,000 yang dirasa munasabah.

Ahmad Hanir dalam hujahan berkata menerusi petisyen itu pempetisyen mendakwa berlaku pelanggaran yang dikatakan satu tempat tidak wujud sebagai saluran mengundi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chiku.

Sementara itu Roslan berkata selepas mendengar hujahan ketiga-tiga responden, permohonan untuk menarik balik petisyen bagi responden kedua dan ketiga yang dinyatakan jelas bahawa kedua-duanya tidak melibatkan responden pertama.

Petisyen pilihan raya bagi responden kedua dan ketiga dibatalkan dengan berkongsi kos sebanyak RM6,000.

Roslan juga menetapkan 26 Feb ini untuk keputusan awal bantahan petisyen itu.

Sementara itu Takiyuddin berkata pihaknya terkejut dengan pempetisyen yang menarik balik petisyen terhadap responden kedua dan ketiga dan keadaan itu jarang berlaku.

- Bernama