Skip to main
Logo Malaysiakini

Persatuan gesa k'jaan batal larangan hantar babi hidup antara negeri

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Beberapa negeri kini menghadapi kekurangan daging babi selepas Jabatan Perkhidmatan Veterinar melarang penghantaran ternakan babi hidup antara negeri sejak dua minggu lalu untuk mengekang penularan Selesema Babi Afrika.

Persatuan Pembantai-Pembantai (‘butcher’/ penjual daging) Kuala Lumpur dan Selangor menggesa jabatan berkenaan mengeluarkan laporan mengenai wabak itu dan membatalkan larangan penghantaran tersebut.

Menurut pengerusinya Lee Ping Hock, kira-kira 3,000 ekor babi disembelih setiap hari di Lembah Klang, dengan kira-kira 80 peratus berasal dari Perak manakala Pulau Pinang dan Lembah Klang masing-masing membekalkan kira-kira 500 ekor.

Sejak larangan itu berkuat kuasa, bekalan ternakan babi hidup ke beberapa negeri semakin berkurangan sehingga menjejaskan pelbagai industri hiliran seperti rumah penyembelihan, peruncit, perniagaan makanan dan minuman serta lain-lain lagi.

"Baru-baru ini, kecuali Pulau Pinang dan Perak, negeri-negeri lain seperti Pahang, Johor, Selangor, dan Melaka, menghadapi kekurangan daging babi yang serius," kata Lee, semasa sidang media bersama Ketua Biro Pengaduan Awam DAP Lim Lip Eng semalam (gambar, atas).

Malah ada yang menutup perniagaan mereka buat sementara waktu kerana kekurangan bekalan, jelasnya lagi.

Lee berkata walaupun daging babi itu masih boleh dihantar merentasi sempadan negeri namun selalunya ia tidak lagi segar atau mula berbau apabila tiba ke destinasinya, kerana kekurangan peralatan penyimpanan yang mencukupi di pusat penyembelihan tempatan.

Dia juga mendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar masih belum mengeluarkan sebarang keputusan rasmi ujian Selesema Babi Afrika walaupun larangan itu dikeluarkan pada akhir Januari.

Beberapa penternak babi di Perak telah menjalankan ujian melalui makmal swasta untuk membuktikan ternakan mereka bebas daripada virus itu, tetapi pihak berkuasa didakwa enggan mengiktiraf ujian tersebut.

Persatuan industri berkenaan menggesa pihak berkuasa membenarkan ladang babi yang terbukti bebas daripada penyakit itu untuk menghantar ternakannya ke negeri lain.

Persatuan itu juga mendakwa sebuah ladang babi milik syarikat makanan berpangkalan di Thailand telah diberikan kebenaran untuk menghantar babi mereka untuk disembelih di Rawang, Selangor, manakala yang lain masih belum mendapat kebenaran yang sama.

Justeru itu, mereka menuntut kerajaan untuk melayan penternak babi tempatan secara adil dan tidak memihak kepada syarikat multinasional.

Dalam pada itu, Lim berjanji untuk menyampaikan mesej persatuan itu kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Saya akan segera menyampaikan mesej itu kepada pihak berkuasa dan rakan-rakan saya di kementerian, terutama timbalan menteri Chan Foong Hin,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara ini.

[Baca berita asal]